suria

Lagi Saksi Dakwa Keterangan Kepada SPRM Tidak Tepat

TEMERLOH: Seorang lagi saksi pendakwaan bagi kes rasuah bekas Ketua Pergerakan Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Mohamad Norza Zakaria dan ejennya, Halimi Kamaruzzaman di Mahkamah Sesyen di sini mendakwa keterangan yang diberikan kepada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) sebelum ini adalah tidak tepat.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Pahang, Yusof Jamaludin yang merupakan saksi ke-10 pendakwaan ketika sesi soal balas mendakwa beberapa permohonannya untuk meminda rakaman percakapan asal tidak dilakukan dengan baik oleh pegawai SPRM ketika disoal siasat di pejabat SPRM Temerloh pada 20 Januari tahun lepas.

Ketika ditanya Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Mohamad Norza berhubung perkara yang ingin dipinda itu, Yusof, 52, yang juga Anggota Jawatankuasa (AJK) Umno Bahagian Maran berkata ia mengenai kenyataan yang mengaitkan Mohamad Norza dengan sampul surat mengandungi wang tunai RM300.

Yusof berkata seorang pegawai SPRM yang dikenali sebagai Baharuddin yang menulis dan menaip kenyataan itu dan beliau ada meminta kepada pegawai berkenaan untuk mengeluarkan sesetengah kenyataan tersebut. Bagaimanapun ada kenyataan yang tidak dikeluarkan oleh SPRM itu.

Ditanya mengapa beliau tidak berusaha untuk meminta kenyataan itu dikeluarkan, katanya beliau ketika itu terlalu letih selepas diambil keterangan selama kira-kira empat jam.

Sementara itu, ketika ditanya oleh peguam Halimi, Jahaberdeen Mohd Yunoos berhubung bagaimana timbul nama Mohamad Norza dalam rakaman percakapan asal itu, Yusof berkata beliau tidak tahu.

Terdahulu, Yusof ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Sazilee Abdul Hairy memberitahu mahkamah bahawa beliau telah dijemput menghadiri satu majlis jamuan di rumah Naib Ketua Umno Temerloh, Mohammad Anuar Yunus pada 20 Januari tahun lepas yang turut dihadiri Mohamad Norza.

Yusof juga berkata beliau telah diberikan satu sampul berwarna putih oleh seorang lagi AJK Umno Bahagian Maran, Datuk Khadri Musa pada majlis itu dan tidak tahu tujuan pemberian tersebut.

Bagaimanapun setelah ditunjukkan rakaman percakapannya sebelum ini kepada SPRM, Yusof berkata beliau merasakan ada pihak yang cuba mempengaruhinya untuk mengundi Mohamad Norza bagi jawatan Anggota Majlis Tertinggi (MT) pada pemilihan Umno Mac tahun lepas.

Mohamad Norza, 43, yang juga bekas Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno dituduh memberi suapan RM1,500 kepada Khadri menerusi Halimi untuk diagihkan kepada perwakilan sebagai dorongan untuk mengundinya memenangi jawatan MT pada Perhimpunan Agung Umno lepas.

Beliau juga menghadapi satu lagi pertuduhan memberi suapan RM1,900 kepada Mohammad Anuar Yunus menerusi Halimi bagi tujuan sama.

Kedua-dua tuduhan itu didakwa dilakukan pada pukul 6.30 petang, 20 Januari 2009 di No. 38, Pinggiran Tasik, Taman Bandar Temerloh, di sini.

Halimi, 47, dari Bandar Indera Mahkota, Kuantan pula didakwa kerana dua tuduhan memberikan suapan itu kepada Khadri dan Mohammad Anuar bagi pihak Mohamad Norza pada masa, tarikh dan tempat yang sama. Perbicaraan ditangguh pada 19 Februari depan. - BERNAMA

Artikel Berikut

7 Kaki Sabung Ayam Ditahan Polis

Artikel Lain