suria

JKJR Keluar Piawaian Brek Seragam Mulai 1 Julai

SHAH ALAM: Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) akan menguatkuasakan satu piawaian seragam penggunaan brek bagi semua jenis kenderaan di negara ini bermula 1 Julai depan.

Ketua Pengarah JKJR, Datuk Suret Singh berkata, piawaian seragam penggunaan brek itu penting memandangkan beberapa kes yang dilaporkan sebelum ini mendapati kebanyakan kenderaan yang menukar brek baru berdepan dengan masalah serta mendatangkan bahaya kepada pengguna.

"Selalunya bila brek dari kenderaan baru dibeli baik namun apabila brek itu perlu ditukar selepas beberapa tahun ia mengalami masalah kerana terdapat pelbagai lambakan jenis brek yang tidak diketahui kualitinya," katanya dalam sidang media selepas Majlis Ikrar antara JKJR dan Pengedar Goodyear di sini hari ini.

Beliau berkata, piawaian itu akan diseragamkan di seluruh negara bagi semua jenis kenderaan seperti motosikal, kereta, van dan lori.

Selain itu, Suret berkata, piawaian seragam bagi jenis brek yang boleh digunakan itu penting memandangkan pada dua bulan lepas satu kajian yang dilakukan terhadap pengilang brek mendapati terdapat vendor yang menawarkan komponen kenderaan itu pada harga serendah RM2.

"Cuba bayangkan brek dengan harga serendah itu, apakah jaminan keselamatannya," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, melalui piawaian ini, pihak berwajib boleh memantau brek yang dijual di pasaran mempunyai jaminan dan elemen keselamatan bagi mengelak berlaku kemalangan serta penipuan terhadap pengguna.

Suret berkata, pengguna perlu memilih tempat di mana mereka menggantikan brek kenderaan bagi memastikan mereka mendapat alat ganti tulen sejajar dengan piawaian yang bakal diperkenalkan nanti.

Beliau dalam pada itu turut meminta supaya orang ramai lebih peka terhadap penggunaan tali pinggang dan topi keledar yang mampu menyelamatkan mereka daripada berdepan dengan maut ataupun kecederaan parah.

"Bayangkan hanya dengan memakai tali pinggang dan ikat topi keledar yang betul kira-kira 1,700 nyawa dapat diselamatkan dalam masa setahun dan lebih 4,000 kecederaan serius dapat dielakkan," katanya.

Suret berkata, jumlah itu berdasarkan purata kejadian kemalangan yang berlaku saban tahun membabitkan dua kenderaan utama iaitu motosikal dan kereta. - BERNAMA

Artikel Berikut

7 Kaki Sabung Ayam Ditahan Polis

Artikel Lain