suria

Wakil DAP Gesa Pemimpin PKR Diambil Tindakan Tegas

PULAU PINANG: Ketua Staf Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Jeff Ooi mahu Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengambil tindakan tegas terhadap anggotanya, yang beliau dakwa cuba memecah-belahkan kerjasama pakatan pembangkang di negeri itu.

Ooi, yang juga Ahli Parlimen Jelutong berkata, beliau berharap PKR mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan isu membabitkan anggotanya yang melakukan serangan peribadi terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

"Saya berharap mereka (PKR) akan membuat penghakiman segera terhadap isu ini supaya seluruh negeri Pulau Pinang boleh meneruskan agenda pembangunan di bawah pakatan pembangkang," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan hari ini bahawa pertelagahan DAP-PKR Pulau Pinang semakin serius selepas seorang lagi Ahli Parlimen PKR, Tan Tee Beng (Nibong Tebal), menyokong pemimpin parti itu Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim (Ahli Parlimen Bayan Baru) dengan melabelkan Lim sebagai pemimpin tidak ada kelas.

Ooi berkata, Tan dan Zahrain berkongsi masalah kekecewaan politik dengan mengeluarkan kenyataan negatif melalui media.

"Ini merupakan kes klasik kekecewaan politik. Apabila mereka tidak dapat apa yang mereka inginkan, mereka mula buat bising," katanya.

Beliau mendakwa Tan kecewa kerana cadangan partinya bagi dirinya menjadi pengerusi Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dan campur tangan beliau dalam proses tender Perbadanan Kemajuan Pulau Pinang (PDC) bagi mendapatkan lot rumah kedai bagi seorang saudara maranya tidak dipenuhi.

Terdahulu, Timbalan Ketua Menteri II, P. Ramasamy menyambut baik keputusan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk merujuk Zahrain ke jawatankuasa disiplin parti.

"Ini merupakan forum yang betul untuk membincangkan isu itu, khususnya semasa mesyuarat Pakatan, dan mengeluarkan kenyataan secara terbuka bukan idea Pakatan," katanya.

Minggu lepas, Zahrain berkata, Lim merupakan seorang diktator, cauvinis dan berfikiran komunis manakala semalam Tan menyatakan sokongan terhadap Zahrain.

Tan lebih lantang lagi dengan menyelar pemimpin PKR di Pulau Pinang yang didakwanya gagal mempertahankan kedudukan mereka dalam Pakatan Rakyat negeri.

Beliau malahan memberi amaran bahawa PKR akan berputih mata jika pemimpin lemah dan terus tunduk kepada telunjuk Lim. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain