suria

UPP Tumpas Cubaan Seludup DVD Cetak Rompak

Mohd Noor (tiga, kanan) bersama anggotanya menunjukkan sebahagian daripada 7,950 keping DVD, VCD cetak rompak bernailai RM35,000 cakera padat yang dirampas di pejabat UPP, Bukit Kayu Hitam. - foto BERNAMA

BUKIT KAYU HITAM: Seorang lelaki yang mengambil upah menyeludup DVD cetak rompak ke Thailand ditahan Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) bersama 7,950 keping DVD di pintu sempadan Malaysia/Thailand pagi ini.

Komander UPP Kedah, Mohd Noor Idris berkata, lelaki itu berumur 31 tahun, berasal dari Pulau Pinang ditahan hasil maklumat orang ramai ketika menunggu pintu sempadan dibuka untuk memasuki Thailand kira-kira pukul 5.55 pagi ini.

"Anggota UPP menahan kereta lelaki itu yang menggunakan nombor pendaftaran Thailand semasa berbaris di Kompleks Imigresen dan Kastam (CIQ) Bukit Kayu Hitam kira-kira 5 minit sebelum pintu sempadan dibuka.

"Hasil pemeriksaan rapi, mereka menemui 7,950 DVD cetak rompak daripada 28 judul filem setelah memecahkan ruang khas yang dibina di bahagian tayar simpanan di bonet belakang kereta lelaki itu," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Noor berkata, nilai pasaran tempatan DVD tersebut ialah RM35,000 manakala di Thailand bernilai RM79,500.

Katanya, siasatan awal mendapati lelaki itu pernah terbabit dengan penyeludupan minyak diesel dan beliau mendapat upah RM2 bagi satu DVD yang dibawa masuk ke Thailand.

Kes itu diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk tindakan lanjut.

Ia disiasat mengikut Seksyen 3, Akta Hak Cipta Perihal Dagangan 1972 dan boleh didenda RM100,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain