suria

Sasaran RM50j Syarikat Swasta Untuk Tabung TP 1Malaysia

KUALA LUMPUR: Kerajaan menyasarkan sumbangan sehingga RM50 juta daripada firma swasta untuk disalurkan kepada Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia agar lebih ramai golongan berpendapatan rendah memperoleh faedahnya.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejateraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin berkata, syarikat-syarikat swasta tidak sepatutnya mementingkan keuntungan semata-mata.

“Mereka tidak harus lupa akan keuntungan yang dikaut daripada projek-projek besar dan tidak mengabaikan kebajikan projek rumah kos rendah.

“Kerajaan sentiasa memastikan syarikat-syarikat swasta tidak rugi apabila mereka membina rumah kos rendah dan sebagai balasan, mereka juga perlu memberikan perkhidmatan yang memuaskan selepas sesuatu projek itu selesai,” katanya selepas majlis meraikan kelahiran baru dan sumbangan hamper kepada pesakit-pesakit Obstetrik & Ginekolgi di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) di sini, hari ini.

Seramai lima bayi dilahirkan pada hari Wilayah Persekutuan hari ini di pusat perubatan berkenaan.

Menurut Raja Nong, peruntukan berjumlah RM37.6 juta yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam di bawah tabung tersebut . Bagi setiap RM1 yang dikeluarkan oleh pemilik atau pemaju rumah kos rendah untuk membaiki kediaman jenis itu RM1 akan disalurkan oleh kerajaan menerusi tabung itu.

Sementara itu, tambah Raja Nong, notis untuk membaiki dan menyelenggara kerosakan di beberapa flat kos rendah di Sentul dan Taman Sentosa, Petaling Jaya telah pun dikeluarkan kepada para firma-firma swasta yang terbabit.

“Mereka diberi masa dua bulan untuk memulakan kerja-kerja membaik pulih. Jika gagal, kontrak perjanjian mereka dengan kerajaan akan dibatalkan dan tindakan undang-undang mungkin akan diambil.

“Jika ini berlaku, pemaju-pemaju lain yang berminat untuk mengambil alih projek penyelenggaraan ini boleh mengemukakan cadangan dan tender mereka,” jelasnya.

Beliau mengakui keadaan di beberapa buah flat kos rendah kini memang sesak dan kotor.

“Ada antaranya tangga juga rosak akibat tindakan segelintir pemilik rumah yang menarik barang-barang berat dengan mengunakan laluan tangga kerana lif rosak,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Raja Nong berkata hanya rumah-rumah kos rendah di sekitar Kuala Lumpur sahaja diberi keutamaan walaupun negeri-negeri lain ingin mendapat faedah daripada tabung ini.

“Dana ini dikumpul oleh Yayasan Wilayah Persekutuan untuk warga Kuala Lumpur sahaja buat masa sekarang.

“Mungkin pada masa-masa akan datang bantuan ini akan dipanjangkan kepada pemilik rumah kos rendah dari negeri-negeri lain,” kata beliau.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain