suria

Sarawak Dapat RM3.4 Bilion Bagi Projek Jalan, Elektrik

SIBU: Sarawak akan menerima RM1.7 bilion untuk membina dan menaik taraf jalan raya dan sebanyak RM1.7 bilion lagi untuk melaksanakan projek bekalan elektrik di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi meningkatkan infrastruktur asas di kawasan luar bandar.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, negeri itu juga akan mendapat RM9 juta untuk melaksanakan projek bagi bekalan air dirawat.

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri taklimat pembangunan bagi kawasan Lanang yang disampaikan oleh Ahli Parlimen kawasan itu, Datuk Tiong Thai King, di sini malam tadi katanya, negeri itu juga akan mendapat RM100 juta bagi projek perumahan.

Mohd Shafie menjelaskan kosnya 10 kali lebih mahal bagi pelaksanaan projek infrastruktur di Sarawak berbanding di semenanjung berikutan keadaan muka bumi yang sukar dan tanah lembut di banyak tempat.

"Sebagai contoh, dalam pembinaan jalan raya, kontraktor perlu mengatasi masalah tanah lembut di banyak tempat. Mereka perlu memasang cerucuk bagi mengukuhkan jalan. Mereka perlu menghantar alat jentera dan bahan binaan di jarak jauh dengan muka bumi yang sukar menyebabkan kos meningkat," katanya.

Dalam melaksanakan projek bekalan elektrik di kawasan pedalaman di Sarawak dan Sabah katanya, dianggarkan kira-kira 40 juta meter kabel diperlukan dan untuk mendapatkan bekalan itu sahaja sudah merupakan satu tugas sukar.

Mengenai penyelenggaraan jalan raya di kawasan luar bandar, kerajaan katanya akan merumuskan mekanisme di mana syarikat-syarikat pembalakan, yang kenderaan berat mereka turut menggunakan jalan berkenaan, akan diminta membantu dalam membiayai kos penyenggaraan.

Mohd Shafie dijadual mengakhiri lawatan tiga hari beliau ke kawasan pedalaman Sarawak hari ini dengan melawat rumah panjang Iban, Rh Melitang di Sungai Gaat, Balleh, kira-kira tujuh jam perjalanan dengan bot dari pekan Kapit. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain