suria

Musa Hassan Akui Syor Kenaikan Gaji Polis Sedang Diperhalusi

PETALING JAYA: Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan hari ini mengesahkan perbincangan mengenai cadangan kenaikan gaji anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) berpangkat sarjan dan ke atas sedang dijalankan.

Beliau ketika dihubungi mStar Online di sini berkata, syor berkenaan sedang diperhalusi bersama pegawai-pegawai atasan PDRM dan butiran mengenainya masih terlalu awal untuk dimaklumkan.

"Saya tiada komen lanjut mengenai perkara itu kerana perkara ini sedang dalam peringkat perbincangan bersama pegawai-pegawai saya," katanya.

Laporan muka depan The Star hari ini menyebut, anggota polis yang berpangkat sarjan, inspektor dan pegawai atasan akan menikmati kenaikan imbuhan dan elaun di bawah skim pembayaran gaji baru.

Cadangan pembayaran gaji dan insentif baru ini bakal dinikmati selepas tiga tahun dicadangkan oleh Suruhanjaya Diraja bagi penambahbaikan pihak berkuasa itu untuk meningkatkan prestasi pasukan polis.

Kenaikan terbesar adalah kepada inspektor baru yang akan menerima gaji permulaan sebanyak RM2,060 berbanding RM1,492 pada sebelumnya disamping kenaikan dalam imbuhan lain seperti elaun rumah, elaun sara hidup dan sebagainya.

Pemegang diploma dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) juga akan dibenarkan memasuki PDRM dengan pangkat sarjan dan akan menikmati gaji permulaan RM1,500. Gaji pangkat sarjan sebelum ini ialah RM890.

Skim baru itu telah diluluskan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam selepas dicadangkan oleh Suruhanjaya Diraja untuk meningkatkan pengurusan dan operasi pasukan polis.

Dalam pada itu, Musa enggan mengulas lanjut kemungkinan kenaikan itu akan menarik minat lebih ramai golongan muda untuk menyertai PDRM pada masa depan.

Sebaliknya, beliau memberitahu satu sidang media akan diadakan bagi memaklumkan mengenai perkara itu setelah semuanya selesai.

"Sekarang saya tidak boleh komen, jika benar dakwaan laporan itu, Insya-Allah kita akan buat sidang media untuk menjelaskannya," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain