suria

Mahkamah Putuskan Pegawai SPRM Tidak Dikenakan Tindakan Hina Mahkamah

SHAH ALAM: Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Raub Ghani, yang membuat laporan polis terhadap pakar patologi Thailand berhubung pendedahan laporan bedah siasat kematian Teoh Beng Hock, tidak akan dikenakan tindakan menghina mahkamah.

Koroner Azmil Muntapha Abas membuat keputusan itu setelah menolak permohonan abang mendiang, Teoh Meng Kee, supaya pegawai berkenaan dikenakan tindakan menghina mahkamah.

Keputusan itu dibuat setelah mahkamah mengambil kira fakta bahawa pihak Peguam Negara tidak akan mendakwa Dr Pornthip Rajanasunand atas tuduhan membocorkan maklumat laporan forensik bekas setiausaha politik itu, kepada akhbar tabloid tempatan, Suara Keadilan.

"Dalam kes ini, Raub telah pun membuat laporan polis dan siasatan dijalankan oleh pihak polis berhubung dakwaan itu, bagaimanapun kuasa untuk mendakwa adalah terletak pada Peguam Negara dan pihak Peguam Negara telah berpuas hati tiada kes terhadap Dr Pornthip," kata koroner.

Koroner Azmil berkata beliau turut mengambil kira hujahan panjang lebar yang diberikan peguam Karpal Singh, bagi Meng Kee, serta peguam Datuk Abdul Razak Musa, bagi SPRM, pada 15 dan 22 Januari lalu, sebelum membuat keputusan itu.

Pada 15 Januari lepas, Peguam Tan Hock Chuan bagi pihak kerajaan Malaysia, memberitahu prosiding inkues bahawa Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail telah mendapati tiada asas untuk mendakwa Dr Pornthip atas tuduhan itu.

Peguam itu juga menjelaskan Ketua Polis Negara turut memberikan jaminan tidak akan menahan atau menganggu Dr Pornthip daripada hadir memberikan keterangan di mahkamah.

Raub, 41, dan Hisyam Mohd Yusoff, 30, membuat laporan polis berhubung artikel bertajuk "Pornthip sahkan Beng Hock dibunuh" yang disiarkan akhbar Suara Keadilan pada 29 Disember, 2009 - 5 Januari, 2010.

Berikutan itu, Meng Kee memfailkan notis usul menghina mahkamah terhadap Raub pada 5 Jan lalu kerana mendakwa laporan polis oleh pegawai SPRM itu sengaja dibuat bagi menakut-nakutkan dan mengugut Dr Pornthip daripada memberi keterangan berhubung bedah siasat kedua ke atas Beng Hock.

Berikutan keputusan mahkamah hari ini, prosiding inkues yang sepatutnya mendengar keterangan beberapa lagi saksi tetapi telah tertangguh sejak November tahun lalu, akan bersambung semula pada 19 Februari depan.

Koroner mengarahkan supaya Ketua Unit Patologi Hospital Sungai Buloh, Dr Shahidan Md Noor dipanggil ke mahkamah pada tarikh itu untuk memberi keterangan berhubung hasil bedah siasat kedua yang dijalankan oleh pakar itu terhadap mayat Beng Hock, pada 22 November, tahun lepas.

Dalam kejadian 16 Julai tahun lepas, Beng Hock, 30, ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam di sini selepas memberi kenyataan mengenai dakwaan salah guna peruntukan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14, bangunan yang sama.

Pada 4 November lepas, mahkamah membenarkan permohonan keluarga Beng Hock supaya mayat mendiang digali semula untuk melakukan bedah siasat kedua. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain