suria

Lawatan Banduan Sempena Tahun Baru Cina

KUALA LUMPUR: Lawatan keluarga ke atas penghuni penjara, pusat pemulihan akhlak dan Sekolah Henry Gurney sempena perayaan Tahun Baru Cina boleh dibuat pada 16 dan 17 Februari ini.

Lawatan bagi tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di tempat tahanan perlindungan Kamunting, Taiping pula ditetapkan pada hari perayaan iaitu 14 dan 15 Februari.

Ketua Unit Urusetia Bahagian Kepenjaraan, PP Abdul Rahman Taib berkata, waktu perjumpaan ditetapkan antara pukul 8.15 pagi dan 4.15 petang untuk memberi peluang kepada keluarga banduan meraikan Tahun Baru Cina bersama penghuni penjara.

"Pelawat diminta membawa kad lawatan serta kad pengenalan bagi memudahkan urusan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Para pelawat tidak dibenarkan membawa sebarang makanan atau minuman semasa bertemu banduan dan juadah boleh dibeli di kantin penjara.

Abdul Rahman juga berkata, keluarga banduan tidak digalakkan memberi wang kepada banduan semasa lawatan memandangkan segala kemudahan asas disediakan oleh Jabatan Penjara.

"Sekiranya pelawat hendak berbuat demikian tetapi atas urusan tertentu seperti bayaran yuran peperiksaan dan sebagainya, mereka perlu mendapatkan resit rasmi daripada penjara sebagai akuan penerimaan," katanya.

Katanya, keutamaan lawatan diberi kepada banduan, tahanan atau juvana dari kaum Cina. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain