suria

KPDNKK Peruntuk RM8 Juta Biaya Skim Pinjaman Pendidikan MKM

JOHOR BARU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) memperuntukkan RM8 juta sebagai pembiayaan skim pinjaman pendidikan bagi pelajar Maktab Kerjasama Malaysia (MKM).

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Skim Pinjaman Pendidikan-i MKM itu adalah untuk pelajar maktab yang mengikuti program Diploma dan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Koperasi.

"Pelajar MKM selama ini menghadapi masalah untuk mendapatkan pembiayaan pelajaran mereka termasuk Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan MKM Wilayah Selatan dan penyerahan dokumen perjanjian Skim Pinjaman Pendidikan-i MKM antara Suruhanjaya Koperasi Malaysia, MKM dan Bank Rakyat, di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata, Skim Pendidikan-i MKM itu membolehkan pelajar mendapat pinjaman antara RM3,000 hingga RM50,000.

Beliau berkata, skim itu terbuka kepada anggota dan kakitangan koperasi, atau anak-anak mereka yang berumur tidak melebihi 45 tahun dan pinjaman itu akan ditukar kepada biasiswa sekiranya peminjam mendapat keputusan cemerlang dalam pengajian mereka.

Mengenai MKM Wilayah Selatan yang beroperasi sejak 1 Oktober lepas, Ismail Sabri berkata, maktab itu diharap dapat memberikan latihan dan pendidikan bagi memenuhi keperluan koperasi khususnya 699 buah koperasi di negeri ini.

"MKM Wilayah Selatan ini dapat membantu mempercepatkan pembangunan di Iskandar Malaysia khususnya dalam bidang latihan perdagangan dan peruncitan," katanya.

Beliau berkata, terdapat 7,131 buah koperasi berdaftar di negara ini sehingga Dis lepas dengan keanggotaan seramai 6.5 juta orang dan jumlah pendapatan sebanyak RM9.28 bilion.

Katanya, kementerian mensasarkan peningkatan bilangan koperasi kepada 10,000 menjelang 2013 dengan harapan koperasi berkenaan boleh membantu menyumbang kepada peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Pada majlis itu, Ismail Sabri turut menyampaikan bantuan kewangan SKM kepada enam buah koperasi dan pinjaman kepada dua koperasi sebagai bantuan mengembangkan perniagaan.

Turut hadir, Timbalan Menteri PDNKK, Datuk Tan Lian Hoe dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Pelajaran dan Pengajian Tinggi Johor Datuk Maulizan Bujang. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain