suria

Juruwang Jadi tebusan Ketika Rompakan

KUANTAN: Seorang juruwang wanita hari ini trauma selepas dijadikan tebusan oleh seorang lelaki ketika merompak sebuah bank di Jalan Bank dekat sini pagi ini.

Bagaimanapun kejadian dramatik yang disaksikan beberapa pelanggan bank itu berakhir tanpa kejadian yang tidak diingini dan suspek kemudiannya turut berjaya diberkas polis kira-kira 10 minit selepas kejadian itu.

Ketika kejadian 9.15 pagi itu, suspek, berusia 30-an masuk ke dalam bank berkenaan sebelum bertindak melompat ke atas kaunter bank itu.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff, suspek kemudiannya memegang juruwang wanita berkenaan sambil mengacukan sebilah pisau pemotong sayur ke arahnya.

"Suspek kemudian mengambil sejumlah wang kira-kira RM16,000 daripada kaunter berkenaan lalu memasukkannya dalam sebuah beg," katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Suspek yang tidak memakai topeng muka kemudian memimpin wanita itu ke arah pintu keluar sebagai tebusan.

Dia kemudiannya bertindak melepaskan wanita berkenaan sebelum melarikan diri keluar dari bank itu dengan hanya berjalan kaki.

"Ketika melarikan diri, dua buah kereta peronda polis kebetulan meronda di jalan berkenaan sebelum anggota polis terbabit bertindak memberkas suspek," katanya.

Mohd Jasmani berkata, siasatan awal mendapati suspek tidak bekerja dan saringan awal ujian air kencing juga mendapati suspek adalah negatif daripada penyalahgunaan dadah.

"Lelaki terbabit kini ditahan di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan," katanya.

Juruwang wanita berkenaan dilaporkan dalam keadaan trauma dan pihak media tidak dibenarkan menemubualnya.

"Kejadian itu berakhir tanpa sebarang kecederaan," kata Mohd Jasmani. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain