suria

Wanita Thailand Ditahan Miliki Pistol Buatan Sendiri

PADANG BESAR: Polis menahan seorang wanita warga Thailand kerana memiliki sepucuk pistol buatan sendiri dan tiga butir peluru hidup semasa pemeriksaan di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Supritendan Che Man Md Dros berkata, wanita berusia 25 tahun itu ditahan pukul 9 malam tadi selepas polis menemui pistol dan peluru itu dalam beg tangannya.

Wanita itu yang membonceng motosikal rakannya seorang lelaki berusia 23 tahun yang juga rakyat Thailand untuk memasuki negara ini, kelihatan gelisah semasa Pasukan Gerak Am (PGA) melakukan pemeriksaan di kompleks itu, katanya.

"Dia diarah memasuki bilik pengesan bersama penunggang motosikal itu. Di bilik itu, wanita itu membuka sendiri beg tangannya dan polis menemui sepucuk pistol buatan sendiri dan tiga butir peluru hidup 38mm bersamanya," katanya.

Wanita dan lelaki itu katanya, menggunakan pas sempadan yang sah dan bekerja sebagai buruh di sebuah tanah rancangan di sini, ditahan untuk siasatan lanjut.

Che Man berkata, polis sedang menyiasat latar belakang kedua-dua mereka yang berasal dari Wilayah Satun, Thailand itu, termasuk motif mereka membawa masuk senjata api itu. - BERNAMA

Artikel Lain