suria

Suruhanjaya Tinggi British Henti Pengeluaran Pasport

PETALING JAYA: Rakyat British yang menetap di Malaysia tidak akan dapat memperbaharui pasport mereka yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tinggi British di Kuala Lumpur mulai Isnin ini.

Ini kerana permohonan pasport baru akan hanya diproses dan dicetak terus dari Hong Kong.

Menurut pejabat suruhanjaya itu, perubahan tersebut merupakan salah satu inisiatif untuk memperkemas operasi pengeluaran pasport dan mengurangkan kos pentadbiran diluar negara.

Maklumat yang disalurkan melalui laman web suruhanjaya berkenaan (www.ukinmalaysia.fco.gov.uk/en/passports) itu turut menyatakan, isu sekuriti dan menjaga kualiti perkhidmatan pelanggan juga menjadi faktor mengapa perubahan ini dilakukan.

Permohonan dijangka siap dalam masa 10 hari bekerja selepas semua proses penerimaan dokumen dan bayaran dilakukan.

Bagaimanapun, pejabat Suruhanjaya berkenaan masih boleh mengeluarkan pasport untuk kes-kes tertentu sahaja.

Pesuruhjaya Tinggi Britis di sini, Boyd McCleary memberitahu suruhanjaya itu akan kekal komited dalam memastikan pasport yang dikeluarkan adalah dalam kadar yang segera dan lancar.

"Saya yakin perkhidmatan pelanggan yang baik sebelum ini akan diteruskan," katanya.

Suruhanjaya British di sini memproses dan mengeluarkan lebih 2,000 permohonan pasport baru tahun lalu.

Dianggarkan terdapat lebih 8,000 rakyat British yang menetap di Malaysia manakala 435,000 rakyat negara itu melawat negara ini tahun lalu.

Artikel Lain