suria

Polis Cedera Dirempuh Mat Rempit

PADANG BESAR: Seorang anggota polis cedera di muka, kaki dan tangan apabila dirempuh sebuah motosikal ketika sedang bertugas di Kaki Bukit dekat sini malam tadi.

Dalam kejadian pukul 10.30 malam itu, Konstabel Mohd Azlan Selamat, anggota polis tugas am dari Balai Polis Kaki Bukit, bersama seorang rakan setugasnya sedang melakukan rondaan cegah jenayah di kilometer 32, Jalan Kaki Bukit-Wang Kelian.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Supritendan Che Man Md Dros berkata, ketika melakukan rondaan itu, mereka mengesan tiga buah motosikal yang dipandu laju dari arah Wang Kelian lalu menahan ketiga-tiga motosikal itu.

Bagaimanapun dua penunggang motosikal tidak mengendahkan arahan berhenti manakala sebuah lagi motosikal yang tidak memasang lampu telah terlanggar Mohd Azlan.

Selepas melanggar Mohd Azlan, penunggang motosikal itu, seorang pelajar tingkatan tiga sebuah sekolah menengah di sini yang berusia 15 tahun terbabas dan cedera.

Che Man berkata, anggota polis yang cedera itu dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah dan masih dirawat di hospital itu.

Sementara itu, pelajar lelaki terbabit yang turut dibawa ke hospital yang sama oleh anggota keluarganya telah diberikan rawatan pesakit luar.

"Polis menahan pelajar itu di luar kawasan hospital dan ekoran penahanannya, polis menahan dua lagi remaja berumur 18 dan 19 tahun di rumah masing-masing tidak jauh dari pekan Kaki Bukit," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain