suria

Pengusaha Premis VCD Cetak Rompak Tetap Berdegil

KULIM: Sebuah premis perniagaan di sini yang pernah diserbu Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan sebanyak empat kali dalam tempoh sebulan sebelum ini, masih meneruskan aktiviti pengedaran video cakera padat (VCD) cetak rompak.

Ketua Penguatkuasa Kementerian itu Cawangan Kulim, Chin Ching Chung berkata, dalam serbuan terbaru ke atas premis itu di Taman Semarak di sini hari ini, pihaknya merampas 6,869 keping VCD, DVD dan CD pelbagai filem serta lagu cetak rompak bernilai lebih RM70,000.

"Serbuan oleh 11 pegawai temasuk tujuh pegawai dari Putrajaya itu turut membawa kepada penahanan tiga lelaki berumur antara 23 dan 30 tahun yang merupakan pekerja premis itu kira-kira pukul 3.15 petang," kata Chin kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata, dalam empat serbuan sebelum ini, pihaknya merampas kira-kira 6,000 keping VCD, DVD dan CD cetak rompak bernilai lebih RM10,000, tetapi tiada tangkapan dibuat.

Chin berkata, tiga lelaki yang ditahan akan direman selama tiga hari bagi membantu siasatan, dan kes itu disiasat mengikut Akta Hak Cipta 1987 yang jika sabit kesalahan bagi satu tajuk boleh membawa denda minima RM20,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali. - BERNAMA

Artikel Lain