suria

Pemimpin Parti Harus Ambil Berat Pandangan NGO, Kata Dr Mahathir

KUALA LUMPUR: Pemimpin parti politik harus mengambil perhatian terhadap pandangan dan rintihan yang disuarakan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kerana ianya merupakan suara rakyat.

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata walaupun bilangan NGO di negara ini adalah kecil namum mereka memainkan peranan yang cukup besar pada pilihan raya dengan mampu memberikan kemenangan kepada parti.

"Pada pilihan raya, kita tidak memerlukan beratusan ribu atau pun berpuluhan ribu (undi untuk menang), hanya 102 (undi) sudah mencukupi untuk menentukan menang atau tidaknya sesebuah parti politik itu," katanya pada majlis pelancaran Pertubuhan Perkasa Selangor di sini semalam.

Dr Mahathir berkata malah beliau sendiri mengalami kekalahan dalam pilihan raya umum pada tahun 1969 apabila gagal mempertahankan kerusi Parlimen Kota Setar Selatan di Kedah kerana terlampau yakin bahawa pengundi Melayu akan menyokongnya di kawasan itu.

Ini adalah kerana pada pilihan raya umum 1964, beliau telah memenangi kerusi itu dengan mengalahkan calon PMIP, yang kini dikenali sebagai PAS, iaitu Mohd Shaari Abd Shukor dengan majoriti 4,210 undi.

"Itu adalah kawasan Melayu. Daripada 35,000 pengundi hanya 5,000 sahaja yang terdiri daripada orang Cina, India dan Siam. Oleh kerana saya cuba memperjuangkan nasib orang Melayu maka saya pun berpendapat tentulah ramai daripada mereka akan memberi kemenangan pada saya," katanya.

Dr Mahathir berkata akibat memikirkan beliau akan tetap menang, beliau tidak mengambil berat sama ada pengundi kaum Cina di kawasan Parlimennya akan mengundinya atau tidak.

Akhirnya pada pilihan raya itu Dr Mahathir telah ditewaskan oleh Yusof Rawa dari PAS dengan kelebihan undi 989.

Katanya oleh sebab itulah, parti politik harus memberi perhatian kepada kumpulan kecil kerana mereka mampu menentukan kemenangan sesuatun parti dalam pilihan raya. - BERNAMA

Artikel Lain