suria

Pekerja Hotel Pulangkan RM5,200 Terima Penghargaan

SETIU: Seorang kakitangan Sutra Beach Resort di sini yang bersikap jujur apabila mengembalikan wang tunai RM5,200 yang dijumpai di dalam sebuah bilik resort itu pada 2 Januari lepas, hari ini menerima surat penghargaan daripada majikannya.

Mengimbas kembali kejadian itu Maslim Surina Jaafar, 33, yang bekerja sebagai pengemas bilik berkata, beliau menemui wang itu di dalam sebuah bilik yang sedang dikemasnya, sejurus selepas penginap bilik itu mendaftar keluar.

"Semasa saya sedang mengemas bilik, saya jumpa satu beg sukan, kemudian saya serahkan beg itu seorang penyelia, yang mendapati ada wang di dalam beg itu, selain peralatan komputer," kata ibu tunggal yang mempunyai seorang anak lelaki berusia enam tahun itu.

Maslim yang bekerja di resort berkenaan sejak dua tahun lalu berkata, sebelum ini beliau juga pernah menjumpai wang serta barang-barang berharga kepunyaan tetamu resort berkenaan, tetapi bukan dalam jumlah yang banyak, dan semua barang-barang yang ditemuinya itu diserahkan kepada pihak pengurusan hotel.

Sijil penghargaan buat Maslim disampaikan oleh Pengurus Besar Resort itu Malizan Zakaria dalam satu majlis khas di sini hari ini.

Malizan ketika ditemui berkata, beliau merasa kagum dengan kejujuran Maslim yang memulangkan wang yang ditemui itu, iaitu milik seorang pelanggan mereka yang bekerja sebagai kakitangan Petronas.

"Saya harap kejujuran Maslim Surina ini dapat menjadi contoh teladan kepada kakitangan yang lain agar Resort ini menjadi satu tempat penginapan yang selamat dan selesa untuk pelanggan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain