suria

Pakatan Rakyat Alami Pendarahan Dalaman - Kit Siang

PETALING JAYA: Jawatankuasa Disiplin Pakatan Rakyat perlu bermesyuarat untuk memulihkan keyakinan rakyat terhadap disiplin, komitmen, perpaduan dan penyatuan pakatan yang 'longgar' itu, kata Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Menurutnya, isu mewujudkan jawatankuasa disiplin Pakatan telah menjadi sebahagian agenda majlis kepemimpinan sejak tahun lalu.

'Pendarahan dalaman', tegasnya, perlu dihentikan terutama ketika Umno dan Barisan Nasional sedang memperhebat serangan politik masing-masing.

"Ini bakal menjadi cabaran kepada majlis kepemimpinan Pakatan apabila ia bermesyuarat esok," kata beliau dalam blognya semalam.

Penulisan terbaru beliau dalam blog itu timbul sebaik kecaman terbaru terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng oleh bekas Ketua PKR Negeri, Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim.

Zahrain yang juga Ahli Parlimen Bayan Baru mendakwa, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng seorang yang cauvinis, diktator dan berfikiran bahaya dan tidak layak memimpin negeri.

Lim berkata, Pakatan mendapat keyakinan dan kepercayaan semula daripada rakyat berikutan kejayaan mengadakan konvensyen kebangsaan di Shah Alam pada 19 Disember tahun lalu.

"Ia juga menunjukkan tanggungjawab dan kematangan yang lebih baik berbanding Umno serta Barisan Nasional dalam soal menangani kontroversi penggunaan kalimah Allah.

"Bagaimanapun, dalam tempoh beberapa hari sahaja, kemenangan yang susah dicapai oleh Pakatan itu dimusnahkan bukan oleh tindakan lawan politik tetapi tindak-tanduk sesetengah pemimpin Pakatan sendiri," katanya.

Ekoran itu, Lim berkata, rakyat sekali lagi mempersoalkan sama ada Pakatan boleh dipertanggungjawabkan untuk memegang tampuk kuasa di peringkat pusat pada pilihan raya akan datang.

Artikel Lain