suria

MCA Pastikan Peruntukan RM95 Juta Diguna Dengan Berkesan

KUALA LUMPUR: MCA akan memastikan peruntukan RM95 juta oleh kerajaan bagi projek pembinaan 20 buah Sekolah Jenis Kebangsaaan Cina (SJKC) yang baru di seluruh negara, digunakan dengan baik dan berkesan.

Presidennya, Datuk Seri Ong Tee Keat berkata, peruntukan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua itu sedang disalurkan kepada lembaga pengarah sekolah dan jawatankuasa pembinaan sekolah baru.

Beliau berkata, projek itu sedang diuruskan dan disusuli oleh pihak MCA dengan kerjasama jawatankuasa sekolah, khasnya lembaga pengarah sekolah yang berkenaan.

"Wang peruntukan itu perlu diguna pakai sejajar dengan matlamat kerajaan iaitu mendapat pulangan mengikut nilai wang.

"Kami hendak pastikan bahawa setiap projek pembinaan SJKC sebagai pragmatik iaitu reka bentuk dan juga pembinaannya tidak perlu terlalu mewah tetapi lebih pragmatik untuk menampung keperluan sebenar," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Lapangan Perhimpunan SJKC On Pong 2, Pandan Mewah, di sini hari ini.

Ong, yang juga Menteri Pengangkutan berkata, peruntukan berkenaan tidak akan diagihkan secara sama rata kepada 20 SJKC berkenaan kerana ada antara SJKC itu yang memerlukan dana yang lebih sedikit berbanding yang lain.

Sementara itu Ong berkata, beliau menyambut baik pelaksanaan Program Penguasaan Kesusasteraan Klasik Cina yang dijalankan oleh SJKC On Pong 2.

Beliau berkata, program yang dimulakan oleh SJKC On Pong 2 itu bukan sahaja menjadi aktiviti kurikulum tambahan untuk pelajar-pelajar sekolah, tetapi juga disasarkan untuk ibu bapa pelajar.

"Sebagai menyokong usaha ini saya ingin mengumumkan pemberian RM20,000 bagi pembelian novel-novel berbahasa Cina untuk sekolah dan juga untuk mengadakan kelas berasingan buat golongan ibu bapa serta pelajar sekolah," kata Ong yang juga Ahli Parlimen Pandan. - BERNAMA

Artikel Lain