suria

MAS Tawar Tempahan Secara Online Bagi Enam Destinasi

KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines (MAS) menawarkan kemudahan tempahan tiket penerbangan secara online bagi enam lagi destinasi di United Kingdom (UK) dan Ireland iaitu Aberdeen, Belfast, Dublin, Edinburgh, Glasgow dan Manchester melalui www.malaysiaairlines.com.

Pengurus Besar Kanan Pengurusan Rangkaian dan Pendapatan Malaysia Airlines, Dr Amin Khan berkata, MAS telah menawarkan perkhidmatan di laluan berkenaan melalui konsep perkongsian kod dengan BritishMidlands (Bmi) tetapi sebelum ini tiket hanya boleh dibeli daripada pejabat jualan tiket atau ejen pelancongan.

"Pembelian tiket dan penerbangan kini tiada batasan dan mudah. Kami menawarkan perkhidmatan ke London dua kali sehari manakala Bmi menawarkan penerbangan harian ke destinasi ini.

"Kami akan menawarkan kemudahan tempahan tiket secara online bagi semua destinasi di Eropah yang kami jalankan secara perkongsian kod dengan Klm sekarang," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dr Amin berkata, ia selaras dengan strategi "hub-and-spoke" MAS untuk penambahbaikan pengisian trafik bagi laluan tiga peringkat mereka.

"Kami menjangka untuk menjana lebih daripada RM10 juta setahun melalui usahasama dengan Bmi," katanya.

Katanya, MAS menawarkan dua penerbangan sehari dari Kuala Lumpur ke London, masing-masing berlepas pada 10.45 pagi dan 11.55 malam.

Bmi menawarkan perkhidmatan ke Glasgow 27 kali seminggu, Aberdeen (24 kali), Dublin (21 kali), Belfast (20 kali), Edinburgh (19 kali) dan Manchester (17 kali). - BERNAMA

Artikel Lain