Lelaki 'Bomoh Penipu' Ditahan Polis - Semasa | mStar

Lelaki 'Bomoh Penipu' Ditahan Polis

KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki yang mengaku kononnya seorang bomoh dan menipu pelanggannya ditahan di rumahnya di Manir dekat sini, dua hari lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil negeri, Supritendan Azmi Adam berkata, kegiatan lelaki itu terbongkar apabila seorang wanita menyedari ditipu apabila rawatan yang dijanjikan 'bomoh' berkenaan dalam tempoh yang ditetapkan, tidak membuahkan hasil.

"Mangsa kemudian ke rumah lelaki terbabit untuk mendapatkan semula wang tunai dan barang kemas kerana beliau telah dijanjikan untuk dikembalikan semula barangan tersebut sekiranya rawatan yang diterimanya tidak berhasil.

"Namun, mangsa yang gagal mendapatkan semula barangan tersebut kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Batu Rakit pada Jumaat lepas dan kita berjaya menahan lelaki tersebut dalam hari yang sama," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata, lelaki berumur 34 tahun itu pernah ditahan bagi kesalahan menipu.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Azmi berkata, polis menerima dua lagi laporan melibatkan penipuan penawaran hadiah menjadikan kesemuanya empat kes yang direkodkan bulan ini.

Dalam dua kes terbaru ini, beliau berkata, dua orang suri rumah, masing-masing di Kuala Besut dan Jertih kerugian kira-kira RM2,000 dan RM1,200 selepas barang kemas milik mereka dilarikan dua lelaki berkenaan.

"Mereka yang berumur 31 tahun dan 39 tahun itu ditawarkan hadiah berupa sebuah peti sejuk dan untuk mendapatkan peti sejuk itu, mereka perlu membuat sedikit bayaran.

"Oleh kerana tiada duit, maka suspek meminta barang kemas mereka iaitu seutas rantai leher untuk dijadikan cagaran. Namun selepas memperolehinya, kedua-dua suspek kemudiannya terus menghilangkan diri," katanya yang percaya suspek adalah orang yang sama dalam dua kejadian tersebut.

Azmi menasihatkan orang ramai khususnya suri rumah supaya berhati-hati apabila didatangi oleh mereka yang tidak dikenali dan menghubungi polis untuk pengesahan. - BERNAMA

Artikel Berkaitan

Artikel Lain