suria

Kes Kepala Babi: 10 Individu Diambil Keterangan

SUBANG JAYA: Kira-kira 10 individu telah dipanggil untuk memberi keterangan berhubung penemuan empat kepala babi hutan di dua masjid di Petaling Jaya pada Rabu lepas.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, mereka yang diambil keterangan termasuk ahli jawatankuasa masjid berkenaan.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan individu yang diambil keterangan itu.

"Pihak kami sedang meneliti kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di sekitar kawasan masjid termasuk di plaza tol berhampiran masjid berkenaan bagi mengesan individu yang bertanggungjawab.

"Polis sudah ada beberapa petunjuk, namun kita tidak boleh dedahkan lagi kerana ianya akan mengganggu siasatan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan "Kempen Balik Kampung-Rumah Selamat' sempena perayaan Tahun Baru Cina di sini hari ini

Pada Rabu lepas, empat kepala babi hutan yang dibungkus dalam empat beg plastik beras ditemui di dua masjid di Petaling Jaya selepas solat Subuh.

Dua bungkusan kepala babi hutan bersama satu baldi plastik berisi 30 keping wang RM1 diletakkan di pintu masuk belakang ke perkarangan Masjid Jumhuriyah, Taman Datuk Haron, manakala dua bungkus lagi serta baldi berisi jumlah wang yang sama dijumpai di hadapan pintu masuk ke perkarangan Masjid Al Imam Al Tirmizi, Taman Sri Sentosa.

Jarak kedua-dua masjid adalah kira-kira dua kilometer.

Mengenai dakwaan polis sengaja cuba mengagalkan program sambutan perayaan Thaipusam Kerajaan Negeri Selangor di Batu Caves pada Jumaat lepas, Khalid mengulangi kenyataannya bahawa polis tidak pernah berniat untuk sengaja menggagalkan apa jua program yang disusun kerajaan negeri.

Menurutnya, apa yang berlaku pada hari itu ialah polis terpaksa mengarahkan pihak penganjur program pemberian bantuan Kerajaan Negeri Selangor kepada badan amal dan sekolah tamil di sekitar Selangor membuka pentas yang didirikan di tengah-tengah jalan bagi majlis itu kerana ianya mengganggu ketenteraman dan keselamatan orang ramai.

"Jangan putar belit, kita tidak robohkan apa-apa. Kita hanya arahkan mereka membuka pentas tersebut kerana ia didirikan di tengah-tengah jalan yang akan menganggu lalu lintas yang turut digunakan penganut pada keesokan pagi untuk membawa kavadi.

"Kita tidak halang mereka mahu memberikan bantuan tetapi kenapa pihak mereka tidak berbincang dengan komuniti kuil itu untuk membuat program tersebut di dalam kawasan kuil yang saya rasakan ia lebih sesuai dari mengganggu ketenteraman awam," katanya.

Menjawab soalan bahawa kononnya Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bercadang memfailkan saman terhadap polis kerana menghalang majlis penyampaian bantuan tersebut, Ketua Polis Selangor itu berkata, pihaknya tidak akan menghalang kerana tindakan polis pada malam itu tidak mempunyai agenda politik dan ianya diambil kerana kepentingan keselamatan dan keamanan.

"Kita sendiri mendapat rungutan dari orang ramai yang tidak bersetuju pentas berkenaan didirikan di tengah-tengah jalan kerana menurut mereka ia hanya akan mengganggu upacara perayaan mereka," katanya.

Sementara itu, Khalid menyarankan orang ramai yang ingin pulang ke kampung masing-masing atau bercuti ke luar daerah sempena perayaan Tahun Baru Cina supaya mengisi borang pemberitahuan kepada pihak polis.

Ini katanya, akan memudahkan pihak polis menjalankan pemantauan dan pencegahan jenayah di kawasan perumahan yang ditinggalkan kosong. - BERNAMA

Artikel Lain