suria

Jualan Gerai Buah Fama Sasar RM5.5 Juta Tahun Ini

KOTA BHARU: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Kelantan mensasarkan perolehan jualan yang lebih baik di dalam sektor Gerai Buah Baru Segar (GBBS) tahun ini, menjangkau RM5.5 juta.

Pengarah Fama Negeri, Mamat Yunos berkata, jangkaan jualan itu lebih baik berbanding RM4.5 juta tahun lepas.

"Fama dijangka dapat memenuhi sasaran tahun ini melalui 339 buah GBBS yang baru diluluskan di seluruh negeri," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Sementara itu Mamat berkata, Fama akan menguatkuasakan peraturan 3P iaitu Pengredan, Pembungkusan dan Pelabelan di bawah Akta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan 1965, tahun depan.

Menurutnya, Fama sedang mengadakan promosi penjelajahan di semua pasar tani dan GGBS di seluruh negeri sebelum peraturan baru itu dikuatkuasakan.

"Menerusi promosi ini kami akan menemui peniaga pasar tani dan peserta GBBS untuk menjelaskan kepada mereka mengenai peraturan di bawah akta itu sebelum ia dikuasakan supaya dapat dilaksanakan dengan licin dan berkesan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain