suria

JPV Terengganu Suntik 1,500 Lembu Elak Jangkitan

KUALA TERENGGANU: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) menyuntik lebih 1,500 ekor lembu di kawasan Manir di sini berikutan penyakit kuku dan mulut yang mula menyerang ternakan di kawasan berkenaan Khamis lepas.

Pengarah JPV negeri, Dr Azizol Mohd Sharun berkata, dalam kejadian Khamis lepas, sebanyak tujuh ekor lembu di Kampung Kebor Besar, Manir didapati menghidap penyakit berjangkit itu.

"Ini merupakan kes pertama wabak kuku dan mulut berlaku di Terengganu tahun ini dan dipercayai berpunca dari kampung yang sama. Bagaimanapun keadaan terkawal," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Katanya, kesemua ternakan di kampung-kampung berdekatan juga telah diberikan suntikan vaksin untuk mengelakkan jangkitan.

Kampung-kampung yang terlibat ialah ialah Kampung Banggol, Kampung Tualang, Kampung Durian Mas, Kampung Kebor Air, Kampug Kebor Besar, Kampung Kota, Kampung Telari, Kampung Tetambah, Kampung Belara dan Kampung Jeram.

Beliau turut menasihati peniaga atau penternak supaya tidak membuat sebarang pemindahan ternakan atau menyembelih ternakan berpenyakit untuk mengelakkan penyakit itu merebak ke tempat lain.

Rondaan berkala oleh bahagian penguatkuasa JPV juga akan dilakukan dari semasa ke semasa bagi menghalang pemindahan keluar-masuk ternakan dari satu kawasan ke kawasan lain.

Selain itu, Dr Azizol meminta penternak melaporkan kepada JPV dengan segera sekiranya ternakan mereka menunjukkan tanda-tanda dijangkiti penyakit kuku dan mulut seperti air liur meleleh, luka di celah kuku dan tiada selera makan. - BERNAMA

Artikel Lain