suria

Derita Kanak-Kanak 'Tiada Dagu' Dapat Perhatian

KUALA TERENGGANU: Penderitaan seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang menghidap penyakit sindrom "pierrerobin" iaitu masalah ketiadaan dagu sejak dilahirkan hari ini mendapat perhatian pelbagai pihak.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd Nasir Ibrahim Fikri yang mengunjungi kanak-kanak itu di rumahnya di Kampung Pusu Tiga, Gong Badak hari ini berkata, beliau akan memastikan kanak-kanak istimewa itu, Akhir Iskandar Azrul Faizal mendapat rawatan yang terbaik.

"Kita akan melihat keperluan adik Akhir Iskandar dari semasa ke semasa dan kita akan bantu di mana perlu sehingga dia mampu menjadi seorang kanak-kanak yang normal," katanya kepada pemberita selepas lawatan ke rumah kanak-kanak itu anjuran Kelab Wartawan Terengganu (Kawat).

Mohd Nasir menyampaikan sumbangan hamper dan wang tunai kepada keluarga kanak-kanak tersebut. Turut menyampaikan sumbangan adalah Kawat dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Akhir Iskandar, anak sulung daripada dua beradik mengalami masalah ketiadaan dagu sejak dilahirkan yang menyebabkannya tidak boleh bercakap dan makan selain tidak dapat bernafas secara normal

Untuk makan dan minum, bahagian perut kanak-kanak itu terpaksa ditebuk untuk dimasukkan tiub bagi menyalurkan makanan bertentu cecair manakala saluran tiub turut dimasukkan di bahagian leher untuk melancarkan pernafasan.

Sementara itu, ibu kanak-kanak tersebut, Nor Aziah Gunawan, 29, berkata, sebelum ini terdapat tawaran dari doktor pakar untuk melakukan pembedahan plastik ke atas anaknya.

"Namun sehingga hari ini, saya masih tidak dimaklumkan mengenai perkembangan tawaran itu. Semasa bertemu doktor pakar, dia (doktor) kata pembedahan nanti bukan sahaja akan membentuk dagu anak saya, tetapi juga untuk memudahkannya bernafas, makan dan minum secara normal," katanya.

Nor Aziah berkata, beliau terpaksa berulang alik ke hospital bagi mendapatkan rawatan susulan untuk anaknya itu yang memerlukan belanja yang banyak.

"Saya sekarang buntu memandangkan rawatan anak saya memerlukan wang yang agak banyak, jadi saya tak mampu. Tetapi hari ini, saya bersyukur kerana ada pihak yang bersimpati menghulurkan bantuan. Dengan ini ringanlah sikit beban yang saya tanggung," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain