suria

Cubaan Seludup Diesel Melalui Laut Tumpas

KANGAR: Cubaan menyeludup 4,100 liter diesel bersubsidi ke Thailand menggunakan bot nelayan yang diubahsuai tumpas apabila kegiatan itu dikesan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) semalam.

Ketua Penguatkuasa Wilayah Utara APMM, Laksamana Pertama Zulkifli Abu Bakar berkata, hari ini bot nelayan tempatan yang mencurigakan itu diarah berhenti namun tekongnya terus memecut bot itu ke arah perairan Thailand.

Bagaimanapun katanya, bot peronda APMM berjaya memintas bot tersebut dan pemeriksaan mendapati ruang petak ikan dijadikan tangki minyak tambahan dan menemui diesel tersebut bernilai RM11,480.

Katanya, tekong bot rakyat tempatan berumur 34 tahun dan seorang awak awak rakyat Thailand berusia 19 tahun yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri ditahan untuk siasatan lanjut.

Bahan bakar itu dijual pada harga RM2.80 seliter di Thailand berbanding RM1.20 seliter di Malaysia dan perbezaan harga yang ketara itu mendorong aktiviti penyeludupan diesel terus berlaku di kawasan sempadan. - BERNAMA

Artikel Lain