suria

APMM Rampas Anak Kerang Bernilai RM22,000

KUALA LUMPUR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak telah merampas 220 tin berisi anak kerang yang bernilai kira-kira RM22,000 yang cuba diseludup keluar dari negara di Batu 5, Jalan Teluk Intan-Sitiawan, Perak, semalam.

Ketua Penguatkuasa Daerah Maritim 3 Lumut, Kapten Abdul Razak Lebai Omar berkata, bertindak atas risikan, sepasukan anggota APMM telah menahan sebuah lori tiga tan jenis Mitsubishi Canter dalam satu operasi pada pukul 5 petang.

"Hasil pemeriksaan ke atas lori itu, APMM menemui kerang yang bersaiz kurang 4mm yang mana ia dikategorikan sebagai anak kerang. Saiz kerang yang boleh diurusniagakan mestilah berukuran 4mm hingga 25 mm," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, pemandu lori terbabit, seorang lelaki berumur lingkungan 30an telah ditahan kerana gagal menunjukkan lesen untuk membeli dan memindahkan anak kerang terbabit.

"Lelaki ini telah melakukan aktiviti pemindahan kerang yang tidak mengikut syarat dalam permit yang dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan.

"Selain memindahkan anak kerang ini, suspek juga cuba menyeludup keluar anak kerang berkenaan melalui jalan darat," katanya.

Abdul Razak berkata, kes itu diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya APMM untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, individu atau mana-mana pihak yang didapati menyalahi peraturan membeli, membawa dan menjual anak kerang berukuran bawah 4 mm, boleh didakwa mengikut Peraturan 3 (1) Peraturan-peraturan Perikanan (Pemuliharaan Kultur Kerang) 2002.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM20,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali. - BERNAMA

Artikel Lain