suria

Rampasan Kastam Pahang Tahun Lepas RM 2.3 Juta

KUANTAN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia Pahang berjaya merampas pelbagai barangan yang belum lulus Kastam bernilai lebih RM2.3 juta dengan cukai terlibat sebanyak RM8.7 juta sepanjang tahun lepas.

Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan) Datuk Md Hassim Pardi berkata 66 peratus daripada nilai rampasan yang dibuat merupakan rampasan rokok yang bernilai lebih RM1.5 juta dengan cukai terlibat RM6.8 juta.

"Sebahagian daripada rampasan komoditi ini adalah melibatkan penahanan lori-lori yang membawa muatan rokok belum lulus Kastam selain minuman keras, kenderaan, telefon bimbit dan mercun.

"Jumlah orang yang disiasat sepanjang tahun lepas pula ialah seramai 150 orang dan jumlah kompaun yang diterima meningkat sebanyak 37 peratus iaitu RM510,000 berbanding RM371,782 pada tahun 2008," katanya kepada pemberita pada operasi pelupusan rokok di sini, hari ini.

Dalam pada itu, katanya Cawangan Penguatkuasaan Kastam Pahang turut menjalankan aktiviti pelupusan secara pemusnahan ke atas eksibit rokok yang telah dilucuthak bagi kes-kes yang telah diselesaikan.

Md Hassim berkata komoditi yang dimusnahkan hari ini melibatkan rokok kretek gudang garam Surya sebanyak 2,405,600 batang iaitu 250,400 paket.

Kes itu, katanya melibatkan penahanan dua buah lori di Semambu di sini pada 7 April dan 28 Sept tahun lepas dengan nilai rampasan sebanyak RM326,000 dan cukai terlibat adalah RM1.4 juta. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain