suria

Pemain Gitar Kumpulan Muzik Ditahan Kerana Disyaki Mengedar Dadah

KUALA LUMPUR: Pemain gitar utama sebuah kumpulan muzik remaja yang cukup popular sekitar awal tahun 2000 ditahan bersama isterinya kerana disyaki terlibat dalam pengedaran dadah di sekitar Lembah Klang sejak dua tahun lepas.

Pemain gitar berumur 29 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Persiaran Suria Pelangi, Damansara, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata selain isterinya yang berumur 26 tahun, serbuan kira-kira pukul 2 petang itu turut menahan seorang remaja perempuan berumur 16 tahun yang merupakan sepupu kepada pemain gitar tersebut serta seorang lagi wanita berumur 26 tahun.

"Polis menemui lima ketulan mampat ganja seberat 1.3 kilogram yang bernilai RM3,000 di pasaran, wang tunai RM15,000 yang dipercayai hasil jualan dadah serta alat untuk memotong ganja dari rumah pemain gitar itu," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Wan Abdul Bari berkata penahanan pemain gitar itu adalah susulan daripada penahanan pasangan suami isteri di Jalan Mega Mendung di sini sehari sebelumnya.

"Pasangan itu ditahan di dalam sebuah kereta jenis Proton Persona pada kira-kira 9.35 malam dan hasil pemeriksaan ke atas kenderaan itu, polis menemui ganja seberat 465 gram di dalam sebuah beg berwarna hitam dengan harga pasaran kira-kira RM4,000," katanya.

Katanya susulan penahanan itu, polis menyerbu rumah pasangan suami isteri itu di Taman Tan Yew Lai, Puchong dan menemui 900 gram ganja yang disimpan di dalam sebuah kotak serta dua bilah pisau yang dipercayai digunakan untuk memotong ganja.

Beliau berkata pasangan suami isteri itu mempunyai pekerjaan tetap masing-masing sebagai kerani di salah sebuah institusi pengajian tinggi awam dan sebuah syarikat swasta.

Wan Abdul Bari berkata kesemua mereka dipercayai bergiat dalam kumpulan yang sama yang mensasarkan lokasi di sekitar kawasan Kuchai dan Lembah Klang.

"Kesemua yang ditahan didapati negatif dadah, dan mereka dipercayai hanya terlibat dalam pengedaran dadah sahaja," katanya.

Pemain gitar bersama isteri dan dua yang lain kini ditahan reman seminggu bermula Rabu lepas manakala pasangan kerani itu ditahan reman sehingga Ahad ini.

Wan Abdul Bari berkata kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati mandatori. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain