suria

Pakatan Pembangkang Hilang Arah Tuju - Penganalisis

PULAU PINANG: Tindakan pemimpin dan wakil rakyat pakatan pembangkang yang bertelagah sesama sendiri sebenarnya adalah bukti mereka dalam kecelaruan dan telah hilang arah tuju untuk memimpin rakyat dan negara, demikian menurut seorang penganalisis politik.

Menurut Dr P. Sivamurugan, pensyarah sains politik di Universiti Sains Malasyia, disebabkan kecelaruan yang dialami, mereka sering menggunakan dasar peribadi dalam memberi pendapat malah menyerang rakan sendiri jika tidak berpuas hati dengan sesuatu isu.

Sebagai contoh, katanya wakil rakyat DAP Kedah Lee Guan Aik pernah mengisytiharkan tidak menyokong kepimpinan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak ekoran tidak berpuas hati dengan dasar-dasar baru kerajaan negeri itu.

Begitu juga apabila anggota Parlimen Kulim-Bandar Baru Zulkifli Noordin dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyerang anggota Parlimen Shah Alam Khalid Samad dari PAS, Anggota Exco Selangor Datuk Dr Hassan Ali dari PAS pernah bertelingkah dengan Menteri Besarnya Tan Sri Khalid Ibrahim dari PKR dan terkini ialah anggota Parlimen Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Mohamad Hashim pula menyerang Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dari DAP.

"Ini jelas pemimpin dalam pakatan pembangkang mengalami kecelaruan kerana mereka tidak mempunyai satu dasar yang stabil untuk dijadikan panduan dan disebabkan itu hubungan sesama mereka adalah begitu rapuh," kata beliau kepada Bernama di sini hari ini.

Sivamurugan berkata, bagaimanapun, terdapat kemungkinan juga isu dan pertelingkahan ini direka untuk mengalih pandangan rakyat terhadap isu besar yang membabitkan pemimpin utama mereka Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, setiap kali menjelangnya perbicaraan kes liwat Anwar di mahkamah, pelbagai isu lain akan dibangkitkan oleh pemimpin pakatan pembangkang dan kemudiannya Anwar akan muncul sebagai "wira" untuk meredakan isu yang timbul.

Dua hari lepas, Zahrain yang juga bekas pengerusi PKR Pulau Pinang dipetik sebagai berkata Lim adalah seorang 'diktator, cauvinis dan berfikiran komunis'.

Beliau juga menggesa agar pakatan pembangkang menghentikan sebarang tolak ansur dengan pemimpin itu setelah dia gagal menunaikan janji-janji pilihan raya umum lalu.

Lim tidak mahu mengulas mengenai kritikan serius terhadap dirinya itu dan mahukan pemimpin PKR sendiri yang membuat kenyataan balas menerusi timbalannya Dr Mansor Osman yang kesal dengan kenyataan Zahrain.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang Dr Mujahid Yusof Rawa pula ketika dihubungi tidak menafikan sememangnya berlaku perselisihan dan perbezaan pendapat dalam pakatan pembangkang.

"Adalah satu pembohongan jika saya mengatakan tidak ada masalah dalam pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat, tetapi kita mesti menyelesaikannya semasa mesyuarat Majlis Pakatan dan bukannya menerusi media," kata beliau.

Katanya, adalah satu perkara biasa jika mereka mempunyai perbezaan pendapat tetapi tidak bersetuju dengan tindakan Zahrain yang membuat pendedahan terbuka menerusi media.

Bagaimanapun, tindakan berani Zahrain disokong oleh Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM) Huan Cheng Guan yang menurutnya sudah tentu Zahrain membuat pertimbangan yang wajar sebelum mendedahkan sikap sebenar Lim yang didakwanya menguasai kepimpinan kerajaan negeri dan mencampuri urusan semua agensi kerajaan seperti Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan syarikat bekalan air PBA Sdn Bhd.

Katanya, Zahrain lebih mengetahui kepimpinan Lim dan membuat pendedahan demi kepentingan penduduk Pulau Pinang.

Mungkin telah tiba masanya bagi rakyat Pulau Pinang menilai apakah kesilapan yang telah mereka lakukan apabila memberi mandat kepada pakatan pembangkang untuk memerintah. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain