suria

Malaysia Bukan Sarang Pengganas - PM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menolak dakwaan Malaysia menjadi sarang pengganas ekoran penahanan 10 individu termasuk sembilan warga asing di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) baru-baru ini.

Perdana Menteri berkata, penangkapan berkenaan disifatkan sebagai langkah pencegahan yang proaktif bagi memerangi sebarang unsur keganasan sama ada dalam atau luar negara.

"Malaysia bukan pusat operasi, tapi kita tahu sebagai sebuah negara kita amalkan perjalanan yang bebas kepada orang-orang luar.

"Kalau kita dapat tahu sama ada mereka buat lawatan singkat (ke negara kita) ataupun melalui negara kita menuju ke negara lain, kita ambil tindakan yang sewajarnya," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno di sini semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai spekulasi yang mendakwa Malaysia menjadi sarang pengganas selepas penangkapan 10 individu berkenaan yang mempunyai kaitan dengan pengganas antarabangasa.

Najib yang juga Presiden Umno berkata, sikap tegas kerajaan menangani kumpulan pengganas terbabit menunjukkan Malaysia serius dalam menangani sebarang bentuk keganasan.

"Kalau berlaku dalam negara kita, sudah tentu ia akan memberi kesan yang amat buruk kepada imej negara kita dan kalau tidak berlaku dalam negara kita pun, kita boleh dituduh sebagai negara transit untuk pengganas dan sebagainya... itu pun boleh merosakkan imej negara kita.

"Jadi dalam apa jua hal, kita akan sentiasa mengambil sikap bertanggungjawab sama ada melibatkan kepentingan negara kita ataupun masyarakat antarabangsa," katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai tuduhan pembangkang yang mengaitkan Umno terlibat dalam insiden membakar gereja baru-baru ini, Najib berkata perkara itu merupakan taktik pembangkang untuk memburuk-burukkan parti itu.

"Ini kaedah yang pembangkang, mereka mesti menuduh Umno yang lakukannya... itu modus operandi mereka," ujar beliau.

Mengenai penglibatan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang dikatakan telah bersetuju untuk menyertai kaukus mengenai royalti minyak Kelantan, Najib berkata: "Kita sedang meneliti, bagi kita tempoh masa untuk dapatkan laporan mengenainya.

"Dari segi pendirian parti, kita mesti patuh kepada disiplin parti."

Mengenai dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan kerajaan cuba berbohong dalam isu pemberian royalti minyak kepada rakyat Kelantan, Perdana Menteri menegaskan, kerajaan akan menyalurkan pembayaran mengikut Perlembagaan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain