suria

Kerajaan Tegas Pelihara Keharmonian Kepelbagaian Agama - PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengulangi pendirian kerajaan untuk terus memelihara keharmonian dan kepelbagaian agama di Malaysia, sejajar dengan prinsip yang digariskan agama Islam.

Beliau berkata dalam sebuah negara yang berbilang agama dan kumpulan etnik, salah satu prinsip yang perlu kekal dan dipertahankan adalah tuntutan menghormati agama lain.

"Saya hendak tegaskan bahawa menghormati agama lain bukan sahaja merupakan satu nilai utama yang perlu kita pertahankan dalam negara ini, tetapi ia juga merupakan salah satu prinsip dalam agama Islam.

"Islam yang sebenarnya tidak menghina agama lain serta melarang umatnya merosakkan tempat-tempat ibadah mereka.

"Islam yang sebenarnya menghormati agama lain...itu Islam yang sebenarnya," katanya ketika berucap pada sambutan perayaan Thaipusam di Kuil Sri Subramaniyar, di Batu Caves di sini, malam tadi.

Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam dan Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu.

Menjadikan Nabi Muhammad sebagai contoh, Najib berkata keperibadian baginda yang sentiasa menghormati mereka daripada agama lain merupakan satu contoh yang dipegang pentadbirannya dalam mengatasi sebarang permasalah melibatkan hal agama dan kaum di negara ini.

Kehadiran Perdana Menteri ke perkarangan Batu Caves yang disaksikan lebih sejuta penganut agama Hindu itu juga membuktikan keterbukaannya sebagai pemimpin beragama Islam yang sedia meraikan perayaan kaum lain.

Najib juga mencipta sejarah sebagai Perdana Menteri kedua yang mengunjungi kuil tersebut sempena perayaan Thaipusam. Yang pertama adalah Allahyarham ayahandanya, Tun Abdul Razak Hussein.

Najib, yang turut diberikan gelaran "Bapa 1Malaysia" oleh Presiden Kuil Sri Maha Mariamman Datuk R. Nadarajah malam ini, berkata selain mengulangi sejarah, kehadirannya juga bagi menunaikan janji dibuatnya semasa mengunjungi satu karnival di situ pada Ogos tahun lepas.

"Ketika diundang pada satu karnival Ogos lepas saya telah berjanji untuk kembali ke perkarangan Batu Caves untuk meraikan sambutan Thaipusam sebagai tanda menghormati agama kaum Hindu.

Katanya dengan kehadirannya bersama isteri, menteri-menteri kabinet dan pemimpin-pemimpin komponen parti lain dalam kerajaan malam ini menunjukkan yang kerajaan sentiasa menunaikan janji dan sentiasa meraikan kepelbagaian perayaan anutan agama kaum lain.

Sementara itu, Samy Vellu yang turut berucap pada majlis itu berkata kehadiran Najib pada majlis itu melengkapkan makna slogan 1Malaysia yang diperkenalkannya, sekaligus menjadikan beliau ikon pemimpin pelbagai kaum di negara ini.

Katanya kesedian Najib untuk turut sama meraikan kemeriahan sambutan Thaipusam juga membuktikan keakraban Perdana Menteri dengan masyarakat India di negara ini.

"Masyarakat India hari ini amat menyayangi Perdana Menteri yang disifatkan mereka sebagai ikon Bapa 1Malaysia," katanya.

Samy Vellu berkata apa yang diharapkan masyarakat India ketika ini ialah Perdana Menteri mampu melindungi kepentingan masyarakat minoriti itu, seterusnya dapat bersama-sama berkongsi kemakmuran negara.

"Di bawah pentadbirannya (Najib), masyarakat India mengharapkan untuk terus melalui pembangunan ekonomi yang mantap serta berkongsi keharmonian hidup bersama kaum-kaum lain," katanya.

Pada majlis tersebut Najib dan Rosmah turut dihadiahkan dengan kain sutera bersulam benang emas yang dikait khas di India serta dikalungkan dengan bunga malai, tanda penghormatan tertinggi bagi masyarakat India kepada seorang pemimpin.

Turut menerima kalungan bunga malai ialah semua menteri kabinet yang hadir. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain