suria

Kecewa Mungkin Punca Zahrain Naik Berang Dengan Lim Guan Eng

GEORGE TOWN: DAP Pulau Pinang berkata, bekas pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim naik berang terhadap Ketua Menteri Lim Guan Eng mungkin berpunca daripada sebab peribadi.

Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, beliau percaya Zahrain kecewa berhubung keenganan Lim untuk tidak menyokong tender bagi pengurusan kelab golf Bukit Jalil kepada sebuah syarikat.

"Lim telah memaklumkan kepada saya bahawa Zahrain kecewa dengan kerajaan negeri kerana enggan menyokong syarikat itu untuk menjalankan pengurusan kelab golf," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Chow juga berkata, Zahrain juga kecewa berhubung penyingkirannya sebagai pengerusi PKR negeri.

Beliau berkata, DAP negeri dan semua wakilnya melahirkan sokongan penuh terhadap Lim bagi meneruskan kepimpinannya sebagai ketua menteri.

Terdahulu, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang I, Mansor Othman yang juga Pengerusi PKR Negeri berkata, majlis pimpinan pusat parti itu akan mengadakan perjumpaan bagi membincangkan masalah tersebut.

Menurutnya, parti itu akan mengumumkan hasil mesyuarat tersebut Selasa ini termasuk keputusan sama ada tindakan akan diambil ke atas Zahrain atau sebaliknya.

Beliau berkata, parti itu membenarkan pemimpinnya membuat kritikan bagaimanapun mereka tidak akan bertolak ansur sekiranya ada pemimpin menggunakan akhbar untuk melemparkan pelbagai tuduhan yang tidak berasas.

Sementara itu, Zahrain ketika dihubungi berkata, beliau tidak akan mengambil peduli dengan apa yang diperkatakan oleh DAP Negeri kerana beliau sentiasa bercakap menggunakan fikirannya.

"Kita tidak boleh berkompromi hanya kerana kita bekerjasama dengan mereka. Lim tidak layak menjadi ketua menteri.

"Saya telah bercakap dengan ramai orang termasuk ahli-ahli parti dan pertubuhan bukan kerajaan. Mereka semua bersetuju yang Lim adalah seorang diktator jadi saya tidak akan menarik balik kenyataan saya," katanya lagi.

Malah beliau sedia berhadapan dengan apa jua tindakan termasuk dipecat oleh partinya sendiri.

Beliau turut menafikan dirinya terlibat dalam pengeluaran tender kelab golf di Bukit Jambul.

"Jika sesiapa mengatakan sebaliknya, saya tidak akan teragak-agak untuk saman mereka,” katanya.

Semalam, akhbar The Star dalam satu temuramah dengan Zahrain yang juga Anggota Parlimen Bayan Baru memetik beliau sebagai berkata bahawa setiausaha agung DAP itu sebagai seorang diktator, cauvanis dan berfikiran komunis.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain