suria

Jenayah Membabitkan Remaja Di Kelantan Meningkat

KOTA BAHARU: Polis Kelantan akan memberi penekanan terhadap kes jenayah membabitkan golongan remaja dan mencari inisiatif meningkatkan usaha pencegahan berikutan kes jenayah membabitkan golongan itu di negeri ini semakin meningkat dalam tempoh lima tahun yang lepas.

Ketua Polis Kelantan Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata sejak Januari 2005 sehingga Disember 2009, sebanyak 30,993 kes jenayah dilaporkan dengan tangkapan 10,530 orang termasuk 2,743 remaja bawah umur 18 tahun.

"Banyak perilaku jenayah dilaporkan di akhbar dan media elektronik melibatkan remaja dalam tempoh lima tahun sehingga kini.

"Sepanjang tempoh itu juga terdapat 29,834 kes penyalahgunaan dadah dengan jumlah tangkapan 33,110 orang, yang merupakan kes jenayah terbesar yang membabitkan golongan remaja," katanya semasa menyampaikan khutbah Jumaat di Masjid Telipot di sini, semalam.

Beliau berkata seramai 283 golongan dewasa dan 27 remaja di bawah umur yang terlibat dalam pengedaran dadah telah disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori.

"Justeru itu kerjasama antara polis dan masyarakat dalam usaha untuk membanteras jenayah di negeri ini melalui Program Rakan Cop amat dialu-alukan bagi membantu membendung jenayah yang membabitkan golongan remaja ini," katanya.

Selain itu, Abdul Rahim berkata pihak polis turut menyaman 5,704 remaja termasuk 28 remaja ditangkap dan dituduh di mahkamah atas pelbagai kesalahan melanggar peraturan lalu lintas.

"Melanggar kesalahan lalu lintas seperti menunggang motosikal secara berbahaya adalah antara laporan yang kerap diterima pihak kami berhubung kesalahan yang membabitkan remaja ini," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain