Tiga Remaja Anggota Kumpulan Ragut Ditahan - Semasa | mStar

Tiga Remaja Anggota Kumpulan Ragut Ditahan

KUALA LUMPUR: Polis menahan tiga remaja lelaki yang giat melakukan kegiatan ragut sekitar bandaraya ini dalam serbuan ke atas sebuah rumah di Jalan Abdul Samad, Brickfields di sini Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata penahanan ketiga-tiga remaja itu yang dalam lingkungan 17 hingga 19 tahun adalah susulan daripada laporan seorang mangsa berumur 26 tahun yang bekerja di syarikat kewangan.

Beliau berkata mangsa telah membuat laporan polis bahawa beliau telah diragut oleh tiga lelaki yang menaiki motosikal jenis Honda EX-5 ketika berjalan seorang diri di sebuah lorong di sekitar Brickfields pada pukul 7.15 pagi 15 Januari lepas.

"Hasil serbuan itu polis menemui kembali barangan mangsa yang diragut iaitu komputer riba, telefon bimbit dan ipod yang kesemua dianggarkan bernilai RM2,000, kad kredit, wang tunai RM200 serta pasport," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya dengan penahan tiga remaja lelaki itu polis percaya dapat menyelesaikan lebih 20 kes ragut di sekitar Brickfields. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Tiga Rakan Tidak Mengaku Salah Bakar Gereja

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain