suria

Tiga Rakan Tidak Mengaku Salah Bakar Gereja

KUALA LUMPUR: Dua beradik dan seorang lagi rakan mereka tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membakar gereja Metro Tabernacle awal Januari lalu.

Raja Mohamad Faizal Raja Ibrahim, 24, adiknya Raja Mohamad Idzham dan Azuwan Shah Ahmad, 23, didakwa bersama-sama beberapa orang yang masih bebas melakukan khianat dengan membakar Metro Tabernacle Church AG di No 28, Jalan 4/4c, Desa Melawati, di sini pada pukul 11.50 malam, 7 Jan lepas.

Bagi kesalahan itu, kesemua mereka yang bekerja sebagai penghantar surat, didakwa mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan dan Seksyen 34 kanun yang sama yang membawa hukuman penjara 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Hakim S.M Komathy Suppiah membenarkannya dijamin RM20,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh tetapi mereka hanya perlu mendepositkan RM10,000 sahaja dan selebihnya dibayar sekiranya mereka gagal hadir perbicaraan di mahkamah.

Komathy turut menetapkan 12 Mac untuk sebutan bagi membolehkan kesemua tertuduh melantik peguam.

Ketika prosiding, Raja Mohamad Faizal kelihatan menahan kesakitan ekoran muka dan badannya yang melecur teruk manakala pinggangnya terlilit saluran air kencing dan seluar yang dipakainya pula mempunyai beberapa kesan darah.

Pada bahagian lengan kiri adiknya pula juga dilihat terdapat kesan lecur dan bengkak, manakala badan Azuwan tidak menampakkan sebarang kesan lecur tetapi ketiga-tiga mereka kelihatan lemah dan gugup.

Timbalan Pendakwa Raya Anselm Charles Fernandis pada awalnya memohon mahkamah menetapkan jumlah jaminan RM20,000 setiap seorang memandangkan kesalahan yang dilakukan adalah serius dan melibatkan kepentingan awam.

Bagaimanapun Raja Mohamad Faizal merayu jaminan dikurangkan kerana keluarganya miskin dan tidak mungkin dapat mengumpul jumlah itu manakala Azuwan memohon jumlah sebanyak RM5,000 sahaja. - BERNAMA

Artikel Lain