suria

Penulis Blog Adukataruna Hadapi Tuduhan Hina Kesultanan Johor

SEREMBAN: Seorang juruteknik komputer sambilan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap pertuduhan menghina institusi kesultanan Johor dan rakyat menerusi blog adukataruna.blogspot.com.my pada 22 Januari lepas.

Khairul Nizam Abdul Ghani, 29, didakwa melakukan kesalahan itu di No.297, Rumah Rakyat Panchor, Paroi, di sini antara 7.25 malam dan 9.05 malam.

Pertuduhan adalah mengikut 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) akta yang sama.

Jika didapati bersalah dia boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Masri Mohd Daud manakala Khairul Nizam diwakili peguam Mohd Radzlan Jalaludin.

Hakim Zamri Bakar membenarkan tertuduh ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan pasport antarabangsanya diserah ke mahkamah.

Beliau menetapkan 31 Mac untuk sebutan semula kes itu. - BERNAMA

Artikel Lain