suria

Muhyiddin: Jangan Perkecil Peranan Kerajaan

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan orang ramai supaya tidak memperkecilkan peranan kerajaan yang amat komited dalam melakukan transformasi seperti yang dilaungkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya apa yang dilakukan oleh Perdana Menteri dengan memperkenalkan enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI), jelas menunjukkan kerajaan sudah lebih terbuka dan rakyat boleh menilai perkara berkenaan berbanding pakatan pembangkang yang masih tidak tahu mana hala tuju mereka sekarang.

"Kita sudah jelas dengan prestasi kita. Kita lebih komited, lebih berani dan lebih bersedia. Ini adalah satu proses yang luar biasa.

"Jadi, jangan perkecil dan hanya melihat badan bukan kerajaan (NGO) sahaja," katanya kepada pemberita selepas majlis pengiktirafan Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) di Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki di sini hari ini.

Mengenai pandangan yang NGO memperjuangkan isu orang Melayu lebih mendapat tempat berbanding Umno, Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno berkata rakyat jangan salah tafsir dengan situasi di mana NGO lebih ke depan dan berpengaruh berbanding Umno dalam memperjuangkan isu-isu orang Melayu.

"Di peringkat akhir nanti, rakyat akan menentukan masa depan mereka berdasarkan parti mana yang memperjuangkan nasib mereka, bukan NGO yang akan bertanding dalam pilihan raya.

"Atas dasar itu, saya fikir antara parti yang masih kukuh dalam negara kita ialah Umno, selain daripada parti komponen Barisan Nasional yang lain," katanya.

Muhyiddin berkata kerajaan juga mengutamakan rakyat apabila meletakkan kehendak dan kemahuan rakyat di hadapan berdasarkan kepada enam NKRA dalam bidang pendidikan, keselamatan, pembasmian rasuah, peningkatan pendapatan, infrastruktur serta pengangkutan awam.

"Kita dah letak keutamaan dan tak boleh sebab itu, kita kata parti lemah," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain