suria

Khalid Digantung Jawatan Enam Bulan, Hassan Ali Diberi Amaran

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Disiplin PAS hari ini memutuskan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad digantung jawatan sebagai Yang Dipertua Shah Alam dan Ahli Jawantankuasa Lajnah Politik PAS selama enam bulan berkuat kuasa hari ini.

Manakala Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hassan Ali diberi amaran bertulis.

Keputusan itu diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Disiplin parti, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man selepas mempengerusikan mesyuarat badan itu selama dua jam.

Bagaimanapun beliau berkata, kedua-dua mereka boleh mengemukakan rayuan dalam tempoh 30 hari kepada Jawatankuasa PAS Pusat dan Majlis Syura sekiranya tidak berpuas hati dengan keputusan berkenaan.

Katanya, dalam tempoh tersebut mereka turut dilarang membuat sebarang kenyataan yang merugikan dan menjejaskan nama baik PAS dan Pakatan Rakyat.

"Khalid didapati bersalah kerana mendedahkan maklumat sulit dalam mesyuarat badan perhubungan negeri dan mengkritik kepimpinan Hassan selaku Pesuruhjaya PAS Negeri.

"Hassan didapati bersalah kerana mempertikaikan prosedur tatacara Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) dan pelantikan Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Liow Siew Moi," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tuan Ibrahim yang juga Naib Presiden PAS berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan Fasal 75 perlembagaan parti.

Jelasnya, fasal tersebut memperuntukkan sesiapa yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman antaranya diberi amaran, dilucutkan mana-mana hak dalam parti, digantung keahlian dan dipecat daripada menjadi ahli parti.

Tambah beliau, keputusan tersebut dicapai sebulat suara melibatkan kedua-dua kes berkenaan.

“Dalam kes Khalid selepas mengikut prosedur siasatan yang dijalankan Jawantkuasana Disiplin mendapati ada prima facie pada dua kes yang didakwa ke atas beliau.

“Kita menganggap kes Khalid lebih serius daripada pengakuan dia sendiri di samping ia memberi kesan secara terus kepada parti,” katanya.

Jelasnya, hasil mesyuarat adalah sulit yang menjadi rahsia parti dan ia tidak boleh didedahkan kepada umum manakala sebagai Yang Dipertua kawasan, Khalid mempunyai saluran untuk menyuarakan pendapat.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Disiplin, Datuk Wan Mutalib Embong berkata, pertuduhan ke atas Khalid adalah atas kesalahan mengeluarkan kenyataan terbuka mengkritik Hassan yang juga Exco Kerajaan Negeri.

“Kita melihat ini adalah urusan parti yang mesti diselesaikan secara dalaman antara Khalid dan Hassan sendiri, bukannya membuat kritikan menyuruh dia (Hassan) meletakkan jawatan sebagai Exco dan sebagainya.

“Kedua, berkenaan dengan kerahsiaan parti kerana Khalid telah mendedahkan sebahagian daripada kenyataan-kenyataan yang dibincangkan dalam mesyuarat badan perhubungan negeri.

“Ini kerana apa jua yang dibincangkan dalam mesyuarat itu adalah hak badan perhubungan dan tidak boleh didedahkan melainkan dengan keizinan badan itu sendiri,” ujarnya.

Mengenai kritikan yang dilemparkan oleh Hassan terhadap Selcat, Wan Mutalib berkata, jawatankuasa itu ditubuhkan oleh kerajaan negeri dan apa jua urusan mengenai badan itu perlu diputuskan dalam mesyuarat Exco, bukannya di luar.

“Kita merasakan pelantikan merupakan kuasa prerogatif menteri besar dan kalau ada Exco yang tidak puas hati dia perlulah menyelesaikannya sendiri dengan menteri besar sendiri dan bukannya kepada pihak media.

“Ini kerana ia tidak menggambarkan kesatuan fikiran dalam pentadbiran kerajaan negeri,” ujarnya.

Beliau berharap, keputusan Jawatankuasa Disiplin parti itu hari ini akan dijadikan iktibar dan panduan kepada semua ahli parti kerana mereka perlu menjaga keharmonian dalam Pakatan Rakyat.

“Kita harap pada masa hadapan kita lebih tumpukan kepada gerak kerja menghadapi pilihan raya akan datang daripada kita timbulkan polemik dalaman yang merugikan parti.

“Apa jua ketidakpuasan hati perlu dikemukakan mengikut saluran sedia ada dalam parti,” tegasnya.

Hassan hadir ke mesyuarat tersebut bersama ahli jawatankuasa Badan Perhubungan Pas Negeri.

Sementara Khalid tidak hadir kerana berada di Arab Saudi dan hanya menghantar wakil ke mesyuarat jawatankuasa parti itu.

Surat tunjuk sebab dikeluarkan kepada kedua-dua pemimpin terbabit pada 1 November 2009.

Artikel Lain