suria

Kedutaan Syria Sahkan Warganya Ditahan Di Malaysia

KUALA LUMPUR: Kedutaan Syria di sini, yang mengakui rakyatnya adalah antara mereka yang ditahan pihak berkuasa Malaysia, berkata pihaknya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa di negara ini untuk menjamin keselamatan dan kestabilan.

Kedutaan Syria dalam satu kenyataan hari ini menyatakan pihaknya telah dimaklumkan oleh pihak berkuasa Malaysia semalam tentang penahanan suspek warga Syria dan sedang menunggu maklumat terperinci berhubung penahanan berkenaan. "Kedutaan berharap isu penahanan suspek warga Syria akan ditangani menurut proses undang-undang sewajarnya," menurut kenyataan itu.

Kerjasama yang dijanjikan kepada Kerajaan Malaysia berhubung penahanan ini adalah dalam lingkungan rangka kerjasama Syria dengan masyarakat antarabangsa bagi membendung dan dan membanteras keganasan dan menghapuskan punca-puncanya. "Kedutaan ingin meyakinkan semula akan keprihatinan dan bertanggungjawab terhadap negara sahabat Malaysia dan bertegas akan bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan di sini bagi menjamin keselamatan dan kestabilan Malaysia," menurut kenyataan itu.

Pihak berkuasa Malaysia, meskipun enggan mendedahkan kewarganegaraan mereka yang terbabit, dilaporkan telah menahan 10 individu, sembilan daripada mereka warga asing yang mempunyai hubungan dengan rangkaian penggganas antarabangsa, mengikut ISA pada Khamis lepas.

Laporan mendakwa suspek terbabit adalah dari Jordan, Nigeria, Syria dan Yemen. - BERNAMA

Artikel Lain