suria

Undang-Undang Baru Maklumat Kredit Akan Dibentang

KUALA LUMPUR: Undang-undang baru untuk maklumat kredit dijangka dibentangkan pada sesi Parlimen tidak lama lagi selepas selesainya perbincangan antara agensi laporan kredit dan kerajaan bulan depan.

Pengurus Besar RAM Credit Information Sdn Bhd, Dawn Lai Yee Chee berkata, perbincangan itu akan memutuskan tentang peranan dan tanggungjawab semua agensi kredit tempatan bagi menyelaraskan proses itu.

"Undang-undang baru ini akan memastikan maklumat yang diberikan kepada pasaran dikawal atur dengan baik. Ini akan menggalakkan industri kredit yang lebih pesat dan sihat.

"Orang ramai juga akan mula mengetahui tentang agensi yang dikawal atur oleh kerajaan dan akan memberikan maklumat yang lebih tepat," katanya.

Beliau berkata demikian selepas pelancaran indentiti korporat baharu RAM Credit Information bersama-sama dua pemegang kepentingannya RAM Holdings Bhd dan DP Information Group dari Singapura, di sini hari ini.

Lai berkata, ekonomi yang dijangka meningkat tahun ini akan menyokong objektif untuk memberikan maklumat kredit yang tepat untuk meningkatkan keyakinan dalam pasaran.

Beliau berkata, semua pihak yang terlibat dalam urusan maklumat kredit akan dilindungi oleh undang-undang tersebut.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Sri C. Rajandram berkata, perjumpaan semua agensi laporan kredit adalah penting untuk pasaran kredit.

"Terdapat beberapa kes di mana maklumat yang diberikan disalah erti dan memberikan masalah.

"Persekitaran yang boleh dipercayai perlu ditingkatkan dalam pasaran dan undang-undang itu tepat pada masanya untuk mencipta platform yang telus sebagai pemberi maklumat," katanya.

Menurut beliau, pasaran bon dijangka meningkat tahun ini dengan sentimen positif terhadap perniagaan yang kian meningkat.

Mengenai imej korporat baru RAM Credit Information, Rajandram berkata: "Kami menyedari kekosongan dalam pasaran dan permintaan yang tidak dipenuhi bagi maklumat kredit yang boleh dipercayau."

"Oleh itu, kami percaya kami boleh menggunakan kepakaran teknologi dan reputasi kami untuk memenuhi keperluan itu," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

10 Pengganas Ditahan ISA

Artikel Lain