suria

SKTTDI Jaya Buka Tirai TKP Syabas Tahun Ini

SHAH ALAM: Sekolah Kebangsaan (SK) TTDI Jaya di sini menjadi sekolah pertama yang dipilih bagi membuka tirai program Turun ke Padang (TKP) 2010 anjuran Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).

Pengerusi Eksekutif Syabas, Tan Sri Rozali Ismail berkata, program TKP yang diperkenalkan sejak tahun 2006 itu bertujuan meneruskan kesinambungan terhadap kempen kesedaran dan pengetahuan murid sekolah berhubung pembelajaran mengenai sungai serta kepentingan sumber air.

"Program di SKTTDI Jaya hari ini membabitkan 500 orang pelajar darjah lima yang akan menjadi wakil untuk menyampaikan maklumat mengenai kempen kesedaran mengenai sungai dan sumber air kepada rakan-rakan sekolah mereka melalui penerangan yang disediakan pihak Syabas," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, murid yang terbabit dalam program TKP Syabas itu dilengkapkan dengan pelbagai pengetahuan mengenai kepentingan air, penjagaan kebersihan sungai, teknologi rawatan air, masalah yang berkaitan air dan juga proses pengagihan air.

Pada majlis itu juga, Rozali menerima 40 borang permohonan daripada murid sekolah terbabit untuk menjadi anggota Kelab Briged Penyelamat sungai Puncak Niaga yang ditubuhkan khusus untuk memberikan pendedahan awal serta mendidik generasi muda supaya cintakan kebersihan sungai.

Beliau turut menyumbang derma RM5,000 kepada Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) SKTTDI Jaya dan juga Rak Info Maklumat yang mengandungi buku serta brosur pemuliharaan alam sekitar bernilai RM2,000.

Mengulas lanjut mengenai perancangan TKP 2010, Rozali berkata, ia akan dijalankan bermula bulan ini sehingga November, membabitkan lawatan ke sekolah-sekolah yang terpilih di Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

10 Pengganas Ditahan ISA

Artikel Lain