suria

Rumah Terbakar, OKU Lima Sekeluarga Tinggal Sehelai Sepinggang

KOTA BHARU: Seorang kanak-kanak perempuan Orang Kurang Upaya (OKU) bersama lima anggota keluarganya tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka di Kampung Lubuk Jambu, Mulong, dekat sini, terbakar hari ini.

Kanak-kanak malang yang lumpuh seluruh anggota badan itu, Nur Atikah Ahmad Sazaril, 7, berjaya diselamatkan kakaknya, Nur Adrina, 16, dalam kebakaran pada pukul 3 petang yang bermula dari bangsal padi di rumah itu.

Ibu mereka, Nurhawati Setapa, 39, berkata, dalam kejadian itu beliau melihat api sudah marak dari bangsal padi yang terletak bersebelahan rumahnya. Dalam keadaan panik, beliau sempat mengejutkan suaminya, Ahmad Sazaril Mohd Don, 49, yang tidur di ruang tamu.

"Api marak cepat menyambar rumah pada musim panas ini. Saya dan anak-anak tengah tonton televisyen dan nampak asap tiba-tiba dalam rumah," katanya kepada pemberita di tempat kejadian. Katanya, Nur Adrina telah mengangkat adik bongsunya Nur Atikah yang lumpuh keluar dari rumah.

"Kami tidak sempat hendak selamatkan apa-apa. Semuanya berlaku sekelip mata," katanya.

Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Darul Naim, Ahmad Radi Ibrahim berkata, seramai 11 anggota terlibat dalam operasi memadamkan kebakaran itu melibatkan dua buah jentera dari balai itu dan Kota Bharu.

"Setakat ini punca kebakaran masih dalam siasatan dan kerugian dianggarkan bernilai RM100,000," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

10 Pengganas Ditahan ISA

Artikel Lain