suria

PLKN Sedia Hadapi Gelombang Kedua H1N1

PULAU PINANG: Jabatan Latihan Khidmat Negara telah mengambil segala langkah perlu bagi menghadapi gelombang kedua Influenza A(H1N1), kata Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad hari ini.

Oleh itu katanya, ibu bapa tidak mempunyai sebab untuk berasa bimbang bagi menghantar anak mereka mengikuti program itu.

"Setiap langkah pencegahan yang disaran oleh Kementerian Kesihatan dilaksanakan di semua 79 kem di seluruh negara untuk mengelakkan daripada penyebaran selsema maut itu," katanya kepada pemberita selepas melawat Kem Program Latihan Khidmat Negara White Resort di Balik Pulau di sini.

Beliau diminta mengulas mengenai seruan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican baru-baru ini agar semua pelatih dan warga kem PLKN mengamalkan langkah-langkah pencegahan H1N1 untuk mengelakkan kemungkinan letusan wabak.

Mengulas mengenai penyertaan pelatih pada sesi ini, beliau berkata kira-kira 90 peratus daripada 38,000 remaja yang terpilih mengikuti program itu.

Menurut beliau, antara faktor menyebabkan 10 peratus lagi tidak dapat menyertai program itu kali ini ialah masalah kesihatan selain melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

10 Pengganas Ditahan ISA

Artikel Lain