suria

Pemuda BN, PKR Bersatu Kecam Serangan Rumah Ibadat

KUALA LUMPUR: Pemuda Barisan Nasional (BN) dan Pemuda Pakatan Rakyat (PKR) bersatu hati mengecam dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan menyerang serta mencemarkan rumah-rumah ibadat.

Dalam suatu kenyataan bersama di sini hari ini, Pemuda BN dan Pemuda PKR berkata, sebarang vandalisme terhadap mana-mana rumah ibadat merupakan sesuatu yang melampau, biadap, bacul, bertentangan dengan nilai-nilai agama dan tatasusila rakyat negara ini.

"Kami menyeru seluruh rakyat, tanpa mengira agama, bangsa dan pegangan politik untuk bangkit bersatu menentang segelintir puak ekstrem ini yang mahu menggugat kestabilan dan keamanan negara, lantas merobek semangat hormat-menghormati sesama rakyat yang sememangnya tersemai di kalangan kita," kata kedua-dua pergerakan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan berikutan kejadian terbaru iaitu empat kepala babi hutan diletakkan di kawasan dua masjid di Petaling Jaya pagi semalam.

Pemuda BN dan PKR turut mendesak pihak berkuasa agar menumpukan segala usaha membawa pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan, selain menyeru rakyat supaya bertenang dan tidak bertindak mengikut emosi.

"Kami sependapat bahawa isu ini adalah perkara sejagat yang merentasi batasan agama, politik serta bangsa. "Apabila datang ancaman kepada perpaduan dan identiti kita sebagai warganegara Malaysia, kepimpinan muda negara sedia mengenepikan perbezaan fahaman politik demi mempertahankan kemakmuran dan keharmonian negara," menurut mereka.

Polis telah pun menahan beberapa suspek untuk membantu siasatan vandalisme ke atas rumah-rumah ibadat yang berlaku sejak awal bulan ini apabila beberapa gereja dan surau menjadi sasaran di beberapa negeri. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

10 Pengganas Ditahan ISA

Artikel Lain