suria

NGO Wujud Kerana Pendapat Umno Tak Mampu Pejuang Hak Melayu: Tun Dr Mahathir

KUALA LUMPUR: Kewujudan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) seperti Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) disebabkan ada pada kalangan orang Melayu berpendapat Umno tidak mampu memperjuangkan hak kaum ini secara bersendirian, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun kata beliau, pertubuhan itu tidaklah sekuat Umno dalam memperjuangkan bukan saja kaum Melayu malah bangsa lain di negara ini.

"Pada kalangan orang Melayu, mereka berasakan bahawa Umno secara bersendirian tidak begitu mampu untuk melindungi mereka, justeru mereka perlukan NGO," katanya kepada pemberita selepas program Bicara Perdana di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai kewujudan Perkasa dalam memperjuangkan hak orang Melayu yang dilihat sesetengah pihak sebagai lebih proaktif berbanding Umno.

Perkasa yang didaftarkan sebagai NGO pada September 2008 diketuai Anggota Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali yang terkenal dengan kelantangannya dalam membicarakan isu-isu berkaitan orang Melayu.

Terdahulu pada sesi Bicara Perdana itu, Dr Mahathir turut mengingatkan kaum Melayu, sebagai bangsa teras dalam negara, agar terus memelihara dan meningkatkan perpaduan sesama mereka sebelum merealisasikan perpaduan antara kaum. "Kita sedia maklum, Melayu merupakan bangsa teras dan kaum majoriti dalam negara.

"Justeru jika Melayu sendiri tidak kuat bagaimana kita mahu menguatkan hubungan dengan kaum lain di negara ini," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta rakyat negara ini melihat semula sejarah penting yang menunjukkan kaum Melayu pernah mengalami perpecahan pada kalangan mereka sendiri melalui kewujudan parti-parti serpihan.

"Kita akan jadi lemah dan dijajah oleh pihak lain serta keistimewaan orang Melayu akan terhakis jika perpaduan tidak dijaga dan perkara sama mungkin akan berulang," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

10 Pengganas Ditahan ISA

Artikel Lain