suria

Najib Lancar Pelan Hala Tuju Program Transformasi Kerajaan

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus melakukan perubahan melalui Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang dimahukan oleh rakyat sehinggalah mereka melihat dan mengalami sendiri penambahbaikan dalam kehidupan masing-masing.

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata, kerajaan bersikap telus dan sedia dinilai oleh rakyat dalam melaksanakan pelan transformasi tersebut.

"Kita sedar sikap kebertanggungjawaban ini akan dinilai oleh rakyat dan mereka akan membuat penentuan sama ada kerajaan dapat memenuhi janji itu.

"Kita juga sedar risikonya dan kita reda dinilai dan ditentukan oleh rakyat apabila sampai pada masanya. Inilah komitmen sebenar kita kepada rakyat," katanya ketika berucap merasmikan Program Pelan Hala Tuju Transformasi Kerajaan (GTP) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; kedua-dua bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahatir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi serta menteri-menteri Kabinet.

Menurut Najib, kerajaan juga akan menggunakan pendekatan baru dan radikal bagi menyampaikan hasil program transformasi itu dengan cepat dan berkesan agar setiap warganegara dapat menikmati hasil pembangunan negara.

"Kami sedar pendekatan seperti dahulu tidak boleh digunakan lagi bagi melaksanakan transformasi kerajaan.

"Oleh yang demikian, kami melaksanakan transformasi kerajaan dengan kaedah baru yang radikal, sambil belajar daripada kejayaan dan pengajaran peristiwa lepas serta menerusi usaha transformasi kerajaan di negara lain," ujarnya.

Menurutnya, pelaksanaan GTP dan NKRA adalah metodologi baru yang diperkenalkan kerajaan seiring dengan perubahan persekitaran.

Bagaimanapun, katanya, metodologi baru itu dirangka bagi memastikan kerajaan dapat mencapai matlamat nasional dan misi membasmi kemiskinan.

"Hasilnya kita mencapai kemajuan sosio-ekonomi yang membanggakan. Tetapi bagi memastikan kejayaan itu berterusan, kita harus sentiasa berada di hadapan keluk perubahan dan pembangunan.

"Sebab itu hari ini dengan GTP, jika berjaya, bermakna Malaysia telah melakukan perubahan yang cukup besar dan sekali lagi kita berada di hadapan keluk perubahan," katanya.

Jelasnya, kerajaan juga akan berkongsi setiap perjalanan program transformasi itu bersama rakyat dari semasa ke semasa.

Beliau berkata, kerajaan akan turut membentangkan Laporan Tahunan Pertama yang akan diterbitkan suku pertama tahun hadapan.

"Dalam Laporan Tahunan Pertama, saya akan berkongsi maklumat mengenai kemajuan yang dibuat atas pelaksanaan, meraikan kejayaan yang telah dicapai.

"Kita juga akan bersikap telus mengenai sasaran yang tidak tercapai dan memaklumkan pelan tindakan kami untuk meningkatkan prestasi mana yang perlu.

"Oleh itu, kerajaan menumpukan kepada penyampaian Enam NKRA sebagai ukuran untuk rakyat menilai prestasi sistem penyampaian kerajaan," katanya.

Meskipun terdapat cabaran-cabaran yang tidak dapat dielakkan katanya, kerajaan akan tetap berusaha mencapai impian menuju ke arah matlamat Wawasan 2020.

"Ini akan dilakukan dengan berganding bahu bersama rakyat, sektor awam, sektor sosial dan semua lapisan masyarakat," katanya.

Najib berkata dalam memastikan pelaksanaan program tersebut dapat direalisasikan kerajaan memerlukan kerjasama daripada semua pihak khususnya penjawat awam.

Pelan Hala Tuju Transformasi Kerajaan yang dilancarkan hari ini turut didokumenkan dalam bentuk buku selain dalam bentuk cakera padat.

Najib memperkenalkan gagasan 1Malaysia dan GTP pada April tahun lepas, selepas beliau mengambil alih tampuk pimpinan negara.

Beliau turut mengumumkan enam teras NKRA dalam usaha menangani perkara yang menjadi kebimbangan utama rakyat.

Enam bidang NKRA itu ialah mengurangkan jenayah, membanteras rasuah, mempertingkatkan pencapaian pelajar, mempertingkatkan taraf kehidupan isi rumah berpendapatan rendah, mempertingkatkan infrastruktur asas luar bandar dan mempertingkatkan mutu perkhidmatan pengangkutan awam bandar

Sementara itu, penubuhan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) pula berperanan sebagai pemangkin kepada proses transformasi dan membantu kementerian menyampaikan bidang keutamaan mereka.

Untuk maklumat lanjut mengenai Program Pelan Hala Tuju Trasnformasi Kerajaan sila layari:

http://mstar.com.my/pdf/gtp2010_ringkasan_eksekutif.pdf (PDF, 243KB)

http://www.transformation.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=321&Itemid=148&lang=en (Halaman Kerajaan)

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

10 Pengganas Ditahan ISA

Artikel Lain