suria

MBSA Buru Pemilik Harta Gagal Jelas Cukai Taksiran

SHAH ALAM: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) kini bertindak turun padang bagi 'memburu' pemilik harta di bawah pentadbirannya yang gagal menjelaskan cukai taksiran tertunggak berjumlah RM54.1 juta sehingga Disember lepas.

Pegawai Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, ada sesetengah pemilik harta berkenaan gagal menjelaskan cukai masing-masing sejak lima tahun lepas.

"Operasi pertama telah dijalankan pada 19 Januari lepas terhadap sembilan premis di bawah kategori kawasan perindustrian dan perdagangan di Seksyen 17,24 dan 25.

"Melalui operasi itu MBSA berjaya mengumpul hampir RM102,843 daripada premis-premis terbabit yang membuat bayaran secara terus dan ansuran," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, pemilik yang enggan atau berdegil untuk membayar cukai taksiran itu berdepan dengan tindakan premis disita dan dibawa ke mahkamah mengikut peruntukan Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Seksyen 148).

"Kesedaran untuk membayar cukai taksiran ini penting kerana ia membantu mempertingkatkan mutu perkhidmatan MBSA termasuk kerja pembersihan sampah, penyelengaraan lampu, jalan dan longkang," katanya.

Beliau berkata, operasi itu akan diteruskan sehingga semua pemilik premis yang berkenaan menjelaskan cukai masing-masing.

"Mereka yang mempunyai pertanyaan berhubung cukai taksiran boleh menghubungi Bahagian Pengurusan Hasil MBSA di talian 03-55105133 sambungan 477/203/522," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

10 Pengganas Ditahan ISA

Artikel Lain