suria

MBM Anjur Dialog Antara Agama

PUTRAJAYA: Majlis Belia Malaysia (MBM) sedang menganjurkan satu siri dialog dengan beberapa badan bukan kerajaan berhubung serangan terhadap rumah ibadat.

Presiden MBM yang baru, Mohamed Maliki Mohamed Rapiee berkata, pertemuan telah diadakan sejak 8 Januari lepas dengan NGO seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Persatuan Pemuda Kristian dan Persatuan Pemuda Hindu Malaysia.

"Masing-masing telah memberitahu ahli-ahli mereka supaya tidak terlibat dalam perkara-perkara yang mampu mengancam perpaduan negara kita.

"Kami yakin tiada ahli daripada pertubuhan yang didaftar terlibat dalam melakukan perkara-perkara sebegitu secara langsung," katanya kepada pemberita selepas mengunjungi Menteri Belia dan sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek di sini hari ini.

Beliau berkata, dialog seumpama itu akan juga diadakan di peringkat negeri dan daerah.

"Terdapat juga isu-isu perkauman menerusi media baru. Jadi sesuai bagi kami untuk meminta pandangan dan nasihat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia.

"Walaupun kami tiada kumpulan khusus untuk pantau laman-laman web tersebut, kami mempunyai ahli-ahli yang memantaunya secara sukarela. Laman web seperti ini memberi kesan kalau tidak ditangani dengan betul," kata Mohamed Maliki.

Ahmad Shabery pula menyambut baik langkah proaktif MBM itu dalam menangani isu-isu sensitif. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

10 Pengganas Ditahan ISA

Artikel Lain