suria

Malaysia Terajui Usaha Perkasa Wanita: Musa Hitam

SHAH ALAM: Malaysia memainkan peranan penting dalam meningkatkan pencapaian kesaksmaan gender melalui penyediaan persekitaran yang sihat bagi kemajuan wanita di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, kata bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Musa Hitam.

Beliau berkata, jika diberi peluang, kuasa dan didedahkan kepada pengalaman, wanita luar bandar juga mampu memberi sumbangan besar terhadap ekonomi keluarga, masyarakat dan negara, di samping membebaskan diri daripada belenggu kemiskinan.

"Hari ini, gadis dan wanita terus mengecapi manfaat daripada perkhidmatan kesihatan dan pendidikan, hingga, dalam banyak keadaan, mengatasi kaum lelaki daripada segi jumlah dan pencapaian akademik.

"Kini, semakin banyak wanita Malaysia melibatkan diri dalam bidang politik dan banyak inisiatif nasional lain," katanya selepas merasmikan penutupan Bengkel Keusahawanan Wanita WBN, Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) dekat sini hari ini.

Bengkel itu bertujuan melengkapkan usahawan wanita dengan kemahiran yang diperlukan untuk bersaing di pasaran global.

Musa berkata, ketika menyandang jawatan Menteri Pelajaran, beliau secara peribadi telah memujuk ibu bapa agar tidak mengahwinkan anak perempuan masing-masing pada usia terlalu muda dan sebaliknya menyekolahkan mereka bagi menimba ilmu.

"Ucapan saya di kampung-kampung membuahkan hasil apabila semakin banyak ibu bapa mula menghantar anak mereka ke sekolah," katanya dan menambah bahawa kini, kira-kira 70 peratus pelajar di universiti tempatan adalah perempuan.

Musa yang juga Pengerusi Pengasas WIEF berkata, kejayaan Malaysia daripada segi pemerkasaan wanita adalah hebat dan mengalahkan negara maju. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

10 Pengganas Ditahan ISA

Artikel Lain